MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mendakwa Ukraine sengaja menghalang rundingan bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan selama empat tahun setengah, selain menuduh Kyiv campur tangan dalam pilihan raya Parlimen negara itu.
Bercakap kepada Suruhanjaya Industri Ketenteraan Russia kelmarin, Putin berkata Ukraine sudah lama menjadi pemerintahan diktator, merujuk kegagalan negara itu mengadakan pilihan raya presiden baharu selepas tempoh mandat Volodymyr Zelensky berakhir.
“Seperti yang anda ketahui, kepimpinan Ukraine tidak tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya, tetapi pada masa sama mereka juga cuba campur tangan dalam urusan kami,” katanya tanpa membuktikan kenyataan itu.
Rakyat Russia mula mengundi pada 18 September dalam pilihan raya Parlimen yang berlangsung selama tiga hari, dengan keputusan itu dijangka digunakan Kremlin sebagai bukti sokongan meluas terhadap dasar perang Putin.
Zelensky dan pegawai Ukraine sebelum ini berkata, pilihan raya tidak boleh diadakan di negara itu selagi keadaan darurat yang berkuasa kuasa sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022 masih berterusan.
Kyiv menyifatkan pilihan raya Russia sebagai ‘palsu’ dengan keputusannya sudah dijangka.
Putin turut menegaskan serangan Ukraine terhadap sasaran di Russia menunjukkan tawaran Kyiv untuk mengadakan rundingan bagi menamatkan perang sebagai tidak ikhlas.
“Dengan melakukan jenayah seperti ini, mereka melakukan segala-galanya untuk memastikan keamanan dan rundingan tidak berlaku,” kata Putin seperti dipetik ketika berucap kepada suruhanjaya berkenaan.- AGENSI











