SPIELBERG: Jorge Martin menganggap persaingan sengit dengan Marc Marquez pada pusingan terakhir Grand Prix (GP) San Marino sebagai suntikan semangat untuk mencabar kedudukan pendahulu kejuaraan MotoGP menjelang GP Austria.
Pelumba Aprilia itu kini mengumpul 274 mata, menyamai jumlah dimiliki Marquez selepas juara dunia tujuh kali berkenaan merampas kedudukan pendahulu kejuaraan buat kali pertama musim ini menerusi kemenangan kelimanya di San Marino, hujung minggu lalu.
Martin bagaimanapun berada di tempat kedua berdasarkan kiraan keputusan perlumbaan, selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima pada GP berkenaan.
Namun, pelumba Sepanyol itu mengakui teruja apabila berjaya mengekalkan tekanan terhadap Marquez, terutama ketika kedua-duanya bersaing rapat dalam 11 pusingan terakhir.
“Saya gembira kerana kami mempunyai jumlah mata yang sama pada tahap ini. Bagi saya, ia memang gila.
“Tetapi sejujurnya pada perlumbaan terakhir, terutama 11 pusingan itu, sekurang-kurangnya saya dapat bersaing bersama Marc dan mampu memotongnya memang sangat menyeronokkan,” katanya.
Martin percaya aksi di San Marino tetap memberikan beberapa perkembangan positif meskipun gagal menamatkan perlumbaan di podium.
“Walaupun akhirnya saya menamatkan perlumbaan di tempat kelima, saya memperoleh beberapa perkara positif daripada hujung minggu itu.
“Jadi, saya harap dapat merasakan semula perasaan itu. Saya harap dapat mencari semula kelajuan yang dimahukan.
“Saya juga berharap keadaan fizikal saya cukup baik untuk dapat mengikutinya sehingga ke penghujung perlumbaan,” katanya.-AGENSI











