PETALING JAYA: Jemaah umrah Malaysia di Mekah berada dalam keadaan selamat dan tenang, tanpa sebarang perubahan terhadap jadual perjalanan susulan laporan ancaman serangan dron kumpulan Houthi baru-baru ini.
Mutawwif TITIM Travel Sdn. Bhd., Mohamad Ruzaini Mohd. Razali berkata, keadaan di Mekah ketika ini aman dan tiada sebarang insiden berlaku yang menjejaskan pergerakan jemaah.
“Alhamdulillah, kami di sini tiada apa-apa yang berlaku. Semuanya baik-baik sahaja.
“Buat masa sekarang, kami tidak menerima sebarang maklumat daripada Kedutaan Arab Saudi berkaitan perubahan atau arahan keselamatan. Perjalanan kami juga berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Arab Saudi sebelum ini berikrar akan menyekat sebarang ancaman keselamatan terhadap Mekah dan Madinah selepas berjaya memintas serangan dron kumpulan Houthi berhampiran Tanah Suci beberapa hari lalu.
Negara itu turut memaklumkan dron berkenaan dipintas kira-kira pukul 6.50 petang waktu tempatan sebelum memasuki ruang udara Tanah Suci, manakala serpihannya jatuh di kawasan selatan Mekah.
Menurut Mohamad Ruzaini, jadual perjalanan jemaah termasuk waktu dan aktiviti yang dirancang tidak mengalami sebarang perubahan setakat ini.
“Jadual macam biasa. Tiada perubahan waktu dan perjalanan kami di sini. Tiada konflik apa-apa yang sedang berlaku dan semuanya aman, insya-Allah,” katanya.
Ditanya mengenai kawalan keselamatan di sekitar Masjidil Haram, beliau berkata, prosedur pemeriksaan dan kawalan yang dilalui jemaah ketika memasuki kawasan berkenaan masih seperti biasa.
“Alhamdulillah, dari kami masuk, kawalan memang seperti biasa. Sama macam sebelum ini kami masuk,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mutawwif, Aizat Aziz berkata, keadaan di Jeddah juga terkawal dan tiada sebarang kejadian yang menjejaskan urusan jemaah umrah setakat ini.
“Buat masa sekarang ini tiada apa yang berlaku di Jeddah. Keadaan semuanya terkawal.
“Penerbangan pergi dan balik juga dijadualkan seperti biasa dan tiada kelewatan setakat ini,” katanya.










