5D lindungi negara, kukuhkan ekonomi

5D lindungi negara, kukuhkan ekonomi

KESELAMATAN negara bukan sekadar soal mempertahankan sempadan, tetapi turut menjadi asas kepada kestabilan ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDAULATAN negara dan pembangunan ekonomi bukan dua agenda yang terpisah. Ekonomi hanya mampu berkembang apabila sempadan terpelihara, perairan selamat, ruang udara terkawal, sistem digital dilindungi serta keyakinan terhadap kestabilan negara terus kukuh.

Pelabur bukan sekadar menilai potensi pasaran. Mereka turut mengambil kira kestabilan politik, keselamatan infrastruktur, ketahanan rantaian bekalan dan kemampuan sesebuah negara menangani ancaman. Kegagalan melindungi kepentingan strategik boleh meningkatkan kos perniagaan, mengganggu perdagangan serta menjejaskan keyakinan pasaran.

Justeru, pengenalan Strategi 5D oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dilihat bukan hanya dari sudut pertahanan, sebaliknya sebagai kerangka strategik yang turut menyokong ketahanan dan pembangunan ekonomi negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menjelaskan Strategi 5D merangkumi Diplomasi (Diplomacy), Kesan (Detect), Cegah (Deter), Nafi (Deny) dan Tewaskan (Defeat).

Strategi itu bertujuan memastikan ATM kekal sebagai pasukan yang kredibel serta bersiap siaga menghadapi ancaman merentasi lima domain utama, iaitu darat, maritim, udara, siber dan elektromagnetik.

Walaupun dibangunkan dalam kerangka pengukuhan kekuatan ATM, kesannya melangkaui medan ketenteraan. Setiap komponen mempunyai kaitan dengan kestabilan ekonomi, perlindungan aset strategik serta keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.

DIPLOMASI MENGURANGKAN KOS KONFLIK

Diplomasi menjadi lapisan pertama dalam mempertahankan kedaulatan. Hubungan pertahanan dua hala dan pelbagai hala, latihan bersama, pertukaran maklumat serta penglibatan dalam platform keselamatan serantau dapat mengurangkan salah faham dan risiko konflik.

Dari perspektif ekonomi, pendekatan ini membantu mengekalkan kestabilan persekitaran perdagangan. Malaysia ialah negara perdagangan yang bergantung pada laluan laut, pelabuhan, ruang udara serta hubungan ekonomi antarabangsa.

Ketegangan geopolitik yang tidak diurus boleh meningkatkan kos insurans, pengangkutan, tenaga dan import. Gangguan terhadap laluan perdagangan pula berpotensi menjejaskan bekalan makanan, bahan mentah serta komponen industri.

Diplomasi bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, ia merupakan instrumen keselamatan yang mampu mengelakkan konflik mahal, melindungi hubungan perdagangan dan memberikan ruang kepada ekonomi untuk berkembang.

Namun, keberkesanannya bergantung pada sokongan keupayaan pertahanan yang diyakini. Negara yang mampu menjaga wilayah serta kepentingan strategiknya mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam rundingan antarabangsa.

KESAN MELINDUNGI EKONOMI LEBIH AWAL

Elemen Kesan atau Detect menekankan keupayaan mengenal pasti ancaman sebelum berkembang menjadi krisis. Usaha ini memerlukan radar, dron, satelit, penderia maritim, risikan siber serta pemantauan spektrum elektromagnetik.

Pengesanan awal bukan sekadar melindungi aset ketenteraan. Ia turut penting bagi menjaga pelabuhan, lapangan terbang, pelantar minyak dan gas, kabel komunikasi dasar laut, loji tenaga serta rangkaian digital negara.

Sebarang gangguan terhadap infrastruktur berkenaan boleh membawa kesan ekonomi yang besar. Masalah pada sistem pembayaran, komunikasi atau logistik, misalnya, boleh merebak kepada perbankan, perdagangan, pengeluaran dan perkhidmatan awam.

Pelaburan dalam teknologi pengesanan juga berpotensi merangsang industri tempatan. Pembangunan penderia, perisian analitik, kecerdasan buatan dan komunikasi selamat membuka ruang kerjasama antara ATM, STRIDE, universiti serta industri pertahanan dalam negara.

Teknologi berkenaan turut mempunyai kegunaan awam, termasuk pengurusan bencana, pemantauan banjir, pertanian, keselamatan pelabuhan dan perlindungan alam sekitar.

CEGAH MEMPERKUKUH KEYAKINAN PASARAN

Cegah atau Deter bermaksud meyakinkan pihak lawan bahawa sebarang tindakan terhadap Malaysia akan membawa kos tinggi serta gagal mencapai matlamatnya.

Keupayaan cegah rintang tidak semestinya bergantung pada jumlah aset yang banyak. Ia dibentuk melalui kesiapsiagaan, ketepatan maklumat, mobiliti pasukan, keupayaan bertindak balas dan kemampuan mengekalkan operasi.

Kredibiliti pertahanan memberikan isyarat bahawa Malaysia mempunyai keupayaan melindungi kepentingan ekonomi serta infrastrukturnya. Perkara ini penting kepada pelabur, syarikat perkapalan, institusi kewangan dan rakan perdagangan.

Sebaliknya, kelemahan pertahanan boleh meningkatkan persepsi risiko terhadap sesebuah negara. Risiko yang tinggi akhirnya boleh diterjemahkan kepada kos pembiayaan, insurans dan pelaburan yang lebih mahal.

Dalam konteks ini, cegah rintang menghasilkan satu bentuk dividen keselamatan. Apabila risiko konflik dapat dikurangkan, aktiviti ekonomi dapat berlangsung dengan lebih yakin dan stabil.

NAFI MELINDUNGI ASET STRATEGIK

Nafi atau Deny bertujuan menutup ruang serta peluang kepada pihak lawan untuk mencapai objektifnya. Dalam konteks Malaysia, ia meliputi kawalan sempadan, perlindungan perairan, pertahanan ruang udara, keselamatan siber dan penguasaan spektrum elektromagnetik.

Konsep ini semakin penting kerana ekonomi moden bergantung pada rangkaian yang saling berhubung. Pelabuhan, sistem kewangan, telekomunikasi, bekalan tenaga dan pengangkutan beroperasi melalui sistem digital yang terdedah kepada gangguan.

Serangan siber terhadap infrastruktur kritikal boleh melumpuhkan operasi ekonomi tanpa memerlukan serangan fizikal. Gangguan elektromagnetik pula berpotensi menjejaskan radar, komunikasi, navigasi dan sistem kawalan.

Keupayaan Nafi perlu dibangunkan bersama industri tempatan supaya teknologi kritikal dapat diselenggara serta dinaik taraf tanpa kebergantungan berlebihan kepada pembekal asing.

TEWASKAN MENJAMIN KELANGSUNGAN NEGARA

Tewaskan atau Defeat ialah tindakan terakhir apabila diplomasi dan cegah rintang tidak lagi mampu menghalang konflik. Pada tahap ini, ATM perlu berupaya mengintegrasikan operasi darat, maritim, udara, siber dan elektromagnetik.

Keupayaan menangani ancaman bukan sekadar bertujuan mempertahankan wilayah. Ia juga memastikan fungsi ekonomi utama terus berjalan ketika krisis.

Pelabuhan perlu kekal beroperasi, bekalan tenaga mesti dilindungi, manakala sistem komunikasi dan kewangan perlu dipulihkan dengan segera.

Ketahanan sebenar bukan bermaksud negara tidak pernah mengalami gangguan. Sebaliknya, ia merujuk kemampuan menyerap kejutan, bertindak balas dan memulihkan operasi dalam tempoh singkat.

INDUSTRI PERTAHANAN SEBAGAI PEMANGKIN EKONOMI

Pelaksanaan Strategi 5D memerlukan sokongan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN). Tanpa industri tempatan yang berkeupayaan, strategi tersebut akan banyak bergantung pada aset, perisian, alat ganti dan sokongan teknikal dari luar negara.

Kebergantungan tinggi terhadap import menyebabkan sebahagian besar perbelanjaan pertahanan mengalir keluar. Keadaan itu turut mendedahkan negara kepada perubahan kadar pertukaran asing, peningkatan kos penyelenggaraan serta gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

Sebaliknya, pembangunan industri tempatan membolehkan sebahagian nilai perolehan kekal dalam ekonomi negara. Permintaan daripada sektor pertahanan juga boleh merangsang penyelidikan, pembuatan berteknologi tinggi dan pertumbuhan perusahaan kecil serta sederhana.

Malaysia berpotensi membangunkan keupayaan dalam penyelenggaraan dan baik pulih, aeroangkasa, pembinaan kapal, dron, keselamatan siber, kecerdasan buatan, penderia, komunikasi selamat serta teknologi elektromagnetik.

Bidang berkenaan mampu mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk jurutera, saintis data, pakar siber, juruteknik dan penyelidik tempatan. Ia juga berpotensi mengurangkan penghijrahan bakat sekiranya disokong peluang kerjaya serta pembiayaan penyelidikan yang berterusan.

SETIAP RINGGIT MESTI MENGHASILKAN NILAI

Dalam keadaan kerajaan perlu membiayai pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan infrastruktur, perbelanjaan pertahanan mesti dilaksanakan secara berhemat serta strategik.

Setiap ringgit sewajarnya menghasilkan dua pulangan utama, iaitu peningkatan kesiapsiagaan pertahanan dan penciptaan nilai ekonomi dalam negara.

Perolehan aset perlu disertai kandungan tempatan berkualiti, pembangunan vendor, pemindahan teknologi serta latihan tenaga mahir. Pemindahan teknologi pula mesti membawa kepada penguasaan hak penyelenggaraan, keupayaan mereka bentuk, pembangunan komponen dan kebolehan menaik taraf sistem.

Kontrak pertahanan juga perlu dilaksanakan secara telus serta dinilai berdasarkan kos sepanjang hayat, bukan sekadar harga pembelian.

Tadbir urus yang baik dapat mengelakkan pembaziran, memperkukuh keyakinan rakyat dan memastikan perbelanjaan pertahanan tidak menjadi beban fiskal yang tidak produktif.

Kejayaan pula tidak wajar diukur berdasarkan nilai kontrak atau jumlah memorandum persefahaman semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna ialah tahap kesiagaan aset, pengurangan masa senggaraan, peningkatan kandungan tempatan, penguasaan teknologi kritikal, pertumbuhan tenaga mahir serta kemampuan produk tempatan menembusi pasaran eksport.

KEDAULATAN ASAS KEMAKMURAN

Strategi 5D memperlihatkan bahawa pertahanan negara bermula sebelum konflik tercetus. Diplomasi mengurangkan risiko, Kesan memberikan amaran awal, Cegah membentuk pertimbangan pihak lawan, Nafi menggagalkan objektifnya dan Tewaskan memastikan ancaman dapat diatasi.

Apabila dilaksanakan merentasi domain darat, maritim, udara, siber dan elektromagnetik, strategi ini bukan sahaja menjaga wilayah negara, tetapi turut melindungi perdagangan, pelaburan, teknologi dan kehidupan rakyat.

Malaysia tidak perlu menghasilkan sendiri setiap sistem pertahanan. Namun, negara mesti menguasai teknologi yang terlalu penting untuk terus diserahkan sepenuhnya kepada pihak luar.

Strategi 5D menjadi benteng kedaulatan dan pada masa sama pelindung kepada ekonomi negara. Keselamatan yang kukuh membina keyakinan, manakala keyakinan menjadi asas kepada pelaburan, perdagangan dan kemakmuran.

Negara yang selamat bukan sahaja mampu mempertahankan sempadannya, tetapi turut menyediakan ruang untuk ekonominya berkembang.

 

DR. Nur Surayya Mohd. Saudi ialah Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pengarah Pembangunan Perniagaan,  Unit Perniagaan Strategik, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Felo Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×