PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli masih mampu menokok empat mata, walaupun terpaksa bermula dari petak ke-25 gara-gara dikenakan penalti pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano, Itali, kelmarin.
Bermula dari barisan belakang susulan penalti grid, pelumba berusia 19 tahun itu mencatat masa 34 minit 05.048 saat (s) untuk melengkapkan saingan di kedudukan ke-12.
Keputusan tersebut menyaksikan Hakim Danish memperbaiki 13 kedudukan daripada grid permulaan dan membolehkan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengumpul 94 mata serta menghuni tempat kelapan dalam senarai Kejuaraan Dunia Moto3.
Hakim Danish berkata, secara keseluruhan, dia tidak terlalu berpuas hati dengan keputusan, kelmarin, namun tetap gembira kerana berjaya bangkit selepas bermula dari barisan belakang dan kembali ke kelompok hadapan.
“Saya cuba mengejar pelumba di hadapan dan memberikan tekanan sejak awal perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Saya tidak berputus asa dan terus memberikan segala-galanya sepanjang perlumbaan.
“Saya rasa perlumbaan ini banyak membantu saya mendapatkan semula keyakinan dan keserasian dengan jentera. Saya kembali mendapat rasa yang lebih baik ketika menunggang dan mampu menekan dengan lebih kuat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut anak jati Terengganu itu, dia belajar banyak perkara daripada perlumbaan di Misano terutama dari segi cara menguruskan perlumbaan dan membuat keputusan ketika berada dalam kelompok pelumba.
Jelasnya, untuk saingan di GP Austria nanti, dia mahu memperbaiki kelemahan yang dilakukan dalam perlumbaan hujung minggu lepas.
“Saya akan cuba membuat persediaan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik di Austria. Saya mahu terus membina momentum ini dan melakukan satu lagi kebangkitan yang lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN










