Industri halal negara berpotensi besar, KDNK meningkat lebih RM81b

Industri halal negara berpotensi besar, KDNK meningkat lebih RM81b

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal di Putrajaya. - FOTO TPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prestasi industri halal negara terus menunjukkan potensi besar dengan sumbangan sektor halal kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat  6.1 peratus kepada RM81.25 bilion, atau 7.6 peratus daripada KDNK  negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, prestasi eksport pula berada pada RM33.29 bilion dan  pelaburan kumulatif Taman Industri Halal berjumlah RM13.73 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, mesyuarat majlis itu papda hari ini bersetuju  supaya pemudahcaraan pensijilan halal Perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) diperkasa melalui projek rintis di Kampung Bharu.

“Ini termasuk penugasan Pegawai Pembangunan Halal dan integrasi sistem pelesenan PBT dengan MyHalal.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) juga akan mempergiat promosi kepada 14  Taman Industri Halal berstatus HALMAS yang kini menempatkan 389  pelabur aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid juga mahu kejayaan Inisiatif Halal Kotej Negeri Sembilan, yang  membantu 360 daripada 390 usahawan memperoleh pensijilan halal,  didokumentasikan sebagai model rujukan nasional.

Pada masa sama, Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030 turut disokong ke arah Hab Halal Bersepadu Borneo.

“Walaupun eksport halal Malaysia telah mencecah RM68.52 bilion pada  2025, hanya 14.7 peratus daripada syarikat berstatus halal merupakan  pengeksport. Ini jurang yang mesti kita tutup.

“Saya yakin industri halal Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus  berkembang sebagai pemacu ekonomi negara serta memperkukuh  kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global yang berdaya saing,  berintegriti dan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×