NICE (PERANCIS): Pelajar tahun satu Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Dani Amir Fariz, 19, yang menyertai Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2026 berjaya menamatkan perlumbaan di salah sebuah litar perlumbaan (race course) yang paling mencabar di dunia di Nice, Perancis dengan catatan masa 6 jam 44 minit 21 saat.
Dia yang merupakan peserta termuda daripada Malaysia, yang juga pelajar universiti awam pertama melayakkan diri ke kejohanan bertaraf dunia tersebut berjaya menamatkan cabaran bersama tujuh lagi peserta lain.
Perlumbaan tersebut menyaksikan peserta daripada seluruh dunia berenang sejauh 1.8 kilometer (km), berbasikal 90 kilometer (km) dan berlari 21 km.
“Ini adalah pertandingan yang amat sukar. Segmen berbasikal terlalu mencabar. Bukitnya sungguh curam dan pendakian adalah amat sukar sehinggakan ada beberapa ketika saya hanya mampu mengayuh 11km/jam.
“Namun, saya cuba mengejar masa semasa turun,” kata Ahmad Dani sambil mengalirkan air mata kegembiraan.
Dia turut mengambil pendekatan untuk menikmati pemandangan pergunungan Nice agar tidak berasa tertekan.
Menurutnya, untuk segmen larian, track adalah landai, tetapi agak sukar kerana ia dilakukan setelah otot-otot kaki bekerja keras semasa berbasikal.
Selain itu, cuaca yang panas terik turut memberi kesan kepada tempo larian anak muda tersebut.
“Ini adalah kali terakhir kejohanan dunia Ironman 70.3 diadakan di Nice. Jadi, meskipun litar amat mencabar, saya nekad untuk menikmati perlumbaan ini sebab saya tidak tahu bila lagi saya akan berpeluang berenang, berbasikal dan berlari di sini,” ujarnya.
Ini adalah kali ke-3 Ahmad Dani menyertai acara Ironman 70.3. Beliau mendapat kedudukan 10 teratas untuk kategori 18 hingga 24 tahun semasa di Ironman 70.3 Langkawi 2025 yang melayakkannya ke kejohanan dunia ini.
“Saya masih lagi baru berjinak-jinak dalam sukan triatlon ini. Sejujurnya, saya tidak menjangka akan layak ke peringkat kejohanan dunia semasa saya di Langkawi kerana itulah kali pertama saya menyertai triatlon 70.3,” ujar Ahmad Dani.
Ahmad Dani berharap untuk terus menceburkan diri di dalam sukan triatlon.
“Ini hanyalah titik permulaan dan saya harap untuk terus membanggakan nama Malaysia serta UKM.
“Saya juga ingin membuktikan bahawa pelajar universiti, terutamanya jurusan undang-undang, bijak mengurus masa dan boleh mengimbangkan pelajaran dan penglibatan dalam sukan,” katanya yang turut merupakan penerima Anugerah Dekan untuk semester ini. – UTUSAN










