Penyudah tumpul hukum Young Tigers

Penyudah tumpul hukum Young Tigers

AKSI pemain remaja kebangsaan menentang India dalam separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 yang menyaksikan skuad Young Tigers tewas 1-3 di Moqi, China, kelmarin. - FB JUNIOR ASIA CUP 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan memanfaatkan peluang keemasan menjadi punca skuad hoki remaja lelaki negara tersungkur 1-3 kepada India dalam aksi separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan hasrat Young Tigers untuk menamatkan kempen dengan aksi final berkubur, namun mereka masih berpeluang membawa pulang gangsa apabila berdepan Pakistan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.

Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui kegagalan menyudahkan peluang terutama menerusi pukulan sudut penalti (PC) dan penalti stroke (PS) menghukum pasukannya ketika berdepan juara bertahan tiga edisi berturut-turut itu.

“Kita tak main teruk, kita sebenarnya turun agak baik untuk mencapai misi layak ke final. Namun, ada beberapa peluang jaringkan gol seperti satu pukulan sudut penalti (PC) yang jelas dan satu penalti stroke (PS) tetapi kita tak berjaya.

“Saya fikir kelemahan kita adalah tak sudahkan peluang untuk jaringkan gol sebab perlawanan seimbang. Akhirnya kita kalah tiga gol kepada India,” katanya.

India membuka tirai jaringan menerusi Anmol Ekka pada minit ke-16 sebelum Sukhvinder menggandakan kelebihan menerusi jaringan padang pada minit ke-51.

Anmol kemudian melengkapkan gol keduanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54 untuk meletakkan India dalam kawalan sebelum Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien menjaringkan gol tunggal Young Tigers menerusi pukulan reverse pada penghujung perlawanan.

Nor Saiful bagaimanapun mahu anak buahnya segera melupakan kekecewaan itu dan mengalihkan fokus kepada perebutan tempat ketiga bagi memastikan kempen di China berakhir dengan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Kita tak boleh terus bersedih, kena pandang ke hadapan. Mereka pemain muda dan perlu diberi lebih sokongan.

“Jadi ini amat penting untuk mereka bangkit di penentuan tempat ketiga dan keempat ini,” katanya.

Young Tigers akan menentang Pakistan yang turut gagal ke final selepas tewas 1-4 kepada Korea Selatan dalam satu lagi aksi separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×