PETALING JAYA: Kemudahan dan infrastruktur yang ada di negara ini menjadikan Malaysia sebagai sasaran oleh sindiket antarabangsa melakukan jenayah penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, akses kemasukan pelancong yang mudah, serta kos sara hidup yang berpatutan antara faktor utama sindiket penipuan dalam talian menjadikan Malaysia sebagai lokasi operasi mereka.
Namun beliau menegaskan, kehadiran sindiket-sindiket ini tidak bermakna Malaysia telah berubah menjadi scam hub sebagaimana andaian sesetengah pihak.
“Tangkapan membabitkan operasi sindiket yang menyasarkan mangsa di luar negara mencatatkan peningkatan ketara hasil tindakan agresif dan serbuan berterusan oleh pihak polis.
“Aktiviti penipuan ini bersifat rentas sempadan yang mana penjenayah selalunya beroperasi dari lokasi seperti Kuala Lumpur atau negeri tertentu seperti Pulau Pinang.
“Namun sasaran mangsa mereka berada di China atau negara-negara Barat. Lebih menyukarkan keadaan, dalang utama serta aliran kewangan sindiket ini berada di negara lain,” katanya dalam audio siar MMTV PodX semalam.
Mengulas lanjut, Rusli memaklumkan bahawa berdasarkan rekod JSJK, operasi penipuan yang dibongkar di negara ini pada tahun 2024 melibatkan mangsa dari 16 buah negara.
Namun, kata beliau, jumlah itu meningkat kepada 20 negara pada tahun 2025 manakala bagi tahun ini sahaja, ia telah melepasi 30 hingga 33 buah negara termasuk negara-negara maju di Barat.
“Apabila kita tingkatkan serbuan dan tangkapan, sudah tentu angkanya kelihatan tinggi. Ramai yang menganggap kes semakin menjadi-jadi.
“Padahal ia adalah hasil komitmen padu pihak penguat kuasa yang tidak pernah memberi ruang kepada penjenayah ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai faktor sindiket penipuan memilih Malaysia, beliau menjelaskan bahawa, jaringan internet berkelajuan tinggi, kemudahan pengangkutan, serta kepelbagaian unit kediaman sewaan di sekitar ibu kota membolehkan mereka beroperasi dengan selesa.
Malah, kebolehan rakyat tempatan dan ahli sindiket berkomunikasi dalam pelbagai bahas termasuk bahasa Inggeris dan Mandarin turut memberi kelebihan kepada mereka untuk memperdaya mangsa di peringkat antarabangsa.
Selain itu, JSJK turut mengesan taktik sindiket yang memanfaatkan kelonggaran pas pelancong serta kemudahan penerbangan terus ke destinasi utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Sabah.
“Hasil kajian JSJK mendapati kira-kira 65 peratus suspek yang ditangkap tahun ini mempunyai rekod perjalanan ke Kemboja sebelum ini.
“Modus operandi mereka juga agak ketara. Ada yang masuk menggunakan pas pelancong tetapi langsung tidak membawa beg pakaian atau berkurung di dalam premis sewaan tanpa keluar melancong,” katanya. – UTUSAN










