CAMERON HIGHLANDS: Pihak berkuasa digesa menghentikan kerja-kerja projek jalan pintasan dari Royal Lily ke Villa Dahlia, Tanah Rata di sini sehingga keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana di kawasan tersebut dinilai secara bebas dan menyeluruh.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, langkah itu susulan kejadian hujan lebat selama dua hari berturut-turut pada Selasa dan kelmarin yang telah menyebabkan tanah runtuh, hakisan dan banjir kilat di beberapa lokasi di Cameron Highlands.
Menurutnya, kejadian tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai perkara biasa.
“Kawasan projek jalan pintasan yang dicadangkan itu berada berhampiran Gunung Jasar di Tanah Rata, iaitu kawasan pergunungan yang mempunyai cerun semula jadi dan sistem saliran yang perlu diberikan perhatian serius.
“Reach amat bimbang sekiranya kerja-kerja pembinaan jalan melibatkan pemotongan, pengorekan atau pengubahsuaian cerun, kerana sebarang perubahan terhadap bentuk muka bumi dan aliran air berpotensi mempengaruhi kestabilan cerun serta meningkatkan risiko hakisan dan kegagalan cerun,” katanya.
Menurutnya, persoalannya bukan lagi tentang bagaimana keadaan cerun ketika cuaca baik tetapi lebih penting apakah yang akan berlaku kepada cerun tersebut apabila hujan lebat turun selama dua hingga tiga jam atau apabila hujan berterusan selama beberapa hari.
Beliau berkata, hujan lebat dan banjir yang berlaku seharusnya menjadi satu amaran awal kepada pihak berkuasa.
Katanya, hujan lebat telah menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh, hakisan dan banjir kilat di sekitar Cameron Highlands.
“Keadaan itu perlu dilihat secara serius kerana hujan dalam tempoh yang relatif singkat sudah mampu menghasilkan aliran air yang deras, hakisan serta ketidakstabilan tanah di beberapa kawasan.
“Jika keadaan sedemikian berlaku tanpa gangguan besar terhadap cerun, kita perlu bertanya apakah tahap risiko sekiranya cerun semula jadi di kawasan Gunung Jasar dipotong dan diubah untuk pembinaan jalan?
“Ini bukan soal menakutkan masyarakat tetapi ini soal mencegah sebelum terlambat. Reach tidak mengatakan bahawa bencana besar pasti akan berlaku namun prinsip keselamatan memerlukan kita mengambil serius setiap tanda awal risiko,” katanya. -UTUSAN










