Kedai Jujur SPRM semai integriti - Utusan Malaysia

Kedai Jujur SPRM semai integriti

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 merupakan antara perintis Kedai Jujur yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penulis terkemuka British, Clive Staples Lewis menyatakan, “integrity is doing the right thing even when no one is watching.” Ia bermaksud integriti merupakan amalan di mana melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhatikan kita.

Amalan seumpama itu perlu disemai dalam diri setiap insan sejak kecil lagi. Lebih tepat, tabiat bermoral seperti ini perlu diterapkan bermula dari alam persekolahan lagi supaya ia menjadi pegangan hidup apabila mereka dewasa kelak, bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Menurut Oxford English Dictionary, integriti berasal daripada kata adjektif bahasa Latin integer yang digunakan untuk menggambarkan keutuhan sesuatu struktur atau binaan.

Kemudiannya, sekitar 1659, kosa kata ini diperluaskan penggunaannya untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan manusia. Secara dasarnya, integriti berkait rapat dengan keperibadian seseorang.

Definisi integriti agak luas, ia boleh disifatkan sebagai kualiti kejujuran dan prinsip-prinsip moral tinggi yang dipegang oleh seseorang individu. Dalam erti kata lain, integriti bukan hanya pegangan moral yang dipercayai dan didukung oleh seseorang, malah pegangan itu dicerminkan oleh individu tersebut menerusi perbuatannya.

Tahap integriti yang tinggi akan membentuk individu yang bermoral dan mempunyai nilai tinggi. Justeru, adalah penting untuk menerapkan sifat integriti sejak awal alam persekolahan lagi.

Menyedari hakikat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan penubuhan konsep Kedai Jujur di 10 buah sekolah rintis di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu, lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah. Pemilihan sekolah dibuat setelah berbincang dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan (KPM). Rasional pemilihan kesemua 10 buah sekolah sebagai projek rintis ini adalah dengan mengambil kira komitmen pentadbir dan pihak sekolah, latar belakang murid dan liputan kawasan pemantauan oleh SPRM.

Kedai Jujur merujuk kepada kedai, kios atau sudut yang beroperasi pada waktu persekolahan dan menjual barangan bersifat fast moving items tanpa jurujual dan tidak bermotifkan keuntungan serta berlandaskan experiential based learning. Kedai Jujur berobjektifkan mendidik dan menerapkan elemen integriti secara praktikal dalam kalangan murid sekolah.

Kedai Jujur adalah platform yang mampu mendidik anak-anak, walaupun tiada siapa akan memaksa mereka untuk membayar dahulu sebelum mengambil barangan diperlukan, namun mereka tetap perlu membuat bayaran kerana itu adalah integriti.

MENCURI

Sekiranya tidak membuat bayaran, ia boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan mencuri sebagaimana berlaku di kedai-kedai di luar kawasan sekolah. Walaupun tiada siapa memerhatikan, bayaran harus dibuat ke atas barangan yang diambil. Ini merupakan didikan secara tidak langsung yang diterapkan menerusi Kedai Jujur.

Penubuhan Kedai Jujur ini adalah selaras dengan inisiatif 2.4.6 dan 2.4.11 Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah berteraskan kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan utuh.

Selain itu, konsep Kedai Jujur juga memupuk nilai murni berintegriti dalam kehidupan seharian dan menghayati nilai-nilai jujur, amanah dan tidak mengambil hak orang lain.

Usaha ini dimulakan SPRM pada 2020, namun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun itu disebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Covid-19. Namun, setelah sesi persekolahan mula dibuka pada tahun ini, Kedai Jujur di kesemua 10 buah sekolah berkenaan beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, 10 buah sekolah baharu akan dipilih dalam pelaksanaan Projek Kedai Jujur SPRM Fasa 2. Pemilihan sekolah akan diputuskan menerusi Mesyuarat Penyelarasan bersama SPRM, BSKK dan KPM.

Inisiatif yang diambil SPRM dalam melaksanakan program Kedai Jujur sudah tentu menjadi satu platform efektif dalam melahirkan generasi mendatang yang akan berpegang pada prinsip integriti. Dengan berpegang kepada integriti, generasi ini sudah tentu tidak mudah terjebak dengan perkara negatif.
Ini kerana apabila kita sudah mula mendedahkan perkara yang benar sejak mereka kecil, sudah tentu mereka tidak akan memilih jalan salah apabila sudah dewasa, sebagaimana ditekankan menerusi pepatah berbunyi, biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Natijahnya, persekitaran pendidikan seharusnya memainkan peranan penting dalam membentuk individu sempurna yang kaya dengan nilai moral dan berintegriti. Ini kerana generasi muda hari ini adalah golongan nakhoda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Justeru, golongan ini perlu diasah dengan memberi didikan yang baik dan bermoral berlandaskan integriti. Adalah agak mudah untuk golongan muda terjerumus ke jalan tidak betul, tetapi untuk membentuk mereka ke arah jalan yang benar adalah penuh dengan cabaran. Namun, cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak menunjukkan laluan yang betul buat mereka.

Perlu juga diingat bersama bahawa tugas untuk mendidik anak-anak supaya berpegang kepada integriti tidak harus diserahkan sepenuhnya pada SPRM. Menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu memperkasa serta membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan masa depan generasi muda terus terjamin dan utuh.

DATUK Razim Mohd. Noor ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×