Raja Muda Perlis kagum mutu disiplin, kesetiaan dan semangat patriotisme kontijen Palapes - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis kagum mutu disiplin, kesetiaan dan semangat patriotisme kontijen Palapes

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail  berkenan mengadakan sesi pertemuan bersama dengan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa bangga dan kagum menyaksikan mutu disiplin, kesetiaan dan semangat patriotisme luar biasa dipamerkan seluruh kontinjen perbarisan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam.

Kontijen di bawah pimpinan Kapten Muhammad Asraf Saruni menyertai perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar baru-baru ini.

Kehadiran seramai 2,000 warga Palapes yang menyatukan 20 buah universiti awam daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia di bumi Perlis itu telah melakar satu sejarah baharu yang amat gemilang.

“Syabas dan tahniah diucapkan atas kesungguhan, keteguhan langkah dan komitmen tinggi telah ditunjukkan di medan kawad.

“Kehadiran anak-anak muda ini membuktikan bahawa landasan pertahanan negara berada di tangan generasi yang mempunyai azam yang kukuh demi kedaulatan Raja dan Negara tercinta,” titah baginda berkenan berangkat mengadakan sesi pertemuan bersama dengan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad sebelum sesi sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Mengadap Hijau, Istana Arau.

Baginda juga mengalu-alukan kehadiran kesemua 1,885 Pegawai Kadet beserta ahli keluarga masing-masing ke Istiadat Pentauliahan Diraja Kali Ke-44 yang bakal berlangsung pada Sabtu, 12 September 2026 di Dataran Kawad Baru, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Kampus Alam Pauh Putra.

Sesi tersebut diadakan bersempena persiapan dan penglibatan warga Palapes dalam Istiadat Pentauliahan Diraja Kali Ke-44 serta bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kepimpinan tertinggi negeri dengan Angkatan Tentera Malaysia.

Penyertaan warga Palapes dari seluruh negara bukan sekadar mencerminkan kekuatan dan kesepaduan generasi muda dalam mendukung pertahanan negara, malah menjadi simbol kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara.

Semangat, disiplin dan keberanian yang dipamerkan hendaklah terus disemai sebagai kekuatan generasi pewaris yang akan memastikan kedaulatan Malaysia sentiasa terpelihara, hari ini dan untuk selama-lamanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×