SHAH ALAM: Keputusan kebenaran permohonan penggalian semula kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, akan diketahui esok.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat ketetapan tersebut bagi beliau meneliti afidavit baharu dikemukakan oleh ibu mahasiswa itu, Ummu Haiman Bee Daulatgun, hari ini.
Afidavit tersebut mengandungi transkripsi dan pemacu storan yang tersimpan rakaman audio seorang individu berkaitan kes berkenaan yang dikenali sebagai ‘A’.
Peguam yang mewakili Ummu Haiman, Datuk Naran Singh ketika ditemui berkata, transkrip serta pemacu storan itu baru sahaja diserahkan kepada Mahkamah hari ini bagi menyokong permohonan tersebut supaya bedah siasat kali kedua mayat allahyarham boleh dilakukan.
“Ini adalah hak seorang ibu (Ummu Haiman) untuk mengetahui punca sebenar anaknya (Allahyarham Shamsul Haris) meninggal dunia,” katanya, kepada pemberita, di luar mahkamah.
Dalam prosiding lebih dua jam itu, Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin yang mewakili responden pertama iaitu Ketua Polis Negara manakala responden kedua, Jabatan Peguam Negara diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kamilzah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi.
Utusan Malaysia pada minggu lalu melaporkan, Ummu Haiman, 45, memfailkan notis permohonan menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22 kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Allahyarham Shamsul Haris meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled pada 13 Ogos lalu memaklumkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan yang melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati tiada unsur penderaan yang telah mengakibatkan kematian Allahyarham. – UTUSAN










