UIAM harap pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa berfikiran matang, bebas

UIAM harap pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa berfikiran matang, bebas

UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini berhubung hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta memperkenalkan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh bagi sektor pendidikan tinggi negara.

Rektor UIAM, Professor Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar langkah tersebut membuka ruang penting untuk memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi ilmu dan pembelajaran, di samping memberikan ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk membina pemikiran yang matang dan bebas, mengembangkan kepimpinan serta mengambil bahagian secara konstruktif dalam kehidupan universiti dan masyarakat.

Bagi UIAM kata beliau, kebebasan yang lebih luas perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab, integriti intelektual dan keprihatinan terhadap kepentingan bersama.

Mahasiswa juga kata beliau wajar diberikan ruang untuk menilai dan membahaskan isu-isu semasa secara kritis, berasaskan ilmu dan kebijaksanaan, serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat.

“Aspirasi ini amat bertepatan dengan komitmen UIAM terhadap Epistemologi Tauhid (Tawhidic Epistemology) yang menekankan kefahaman ilmu secara bersepadu berteraskan kesatuan antara kebenaran, nilai dan tanggungjawab insan.

“Ia juga selari dengan gagasan kecemerlangan ummah (unmatic excellence) yang menjadi landasan UIAM dalam melahirkan graduan yang berkeupayaan dari sudut intelektual, kukuh dari segi nilai dan akhlak, serta bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat dan kemanusiaan,” ujarnya.

OSMAN BAKAR

Dalam masa yang sama, kerangka perundangan baharu ini wajar memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan tadbir urus universiti yang baik, dengan disertai mekanisme akauntabiliti yang sewajarnya. Proses pembentukannya juga harus mengambil kira pandangan dan pengalaman universiti, ahli akademik, mahasiswa serta pemegang taruh lain dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

UIAM berharap reformasi ini akan terus memperkukuh universiti-universiti di Malaysia sebagai wadah pencarian ilmu dan kebenaran, di samping membentuk generasi masa hadapan yang berfikiran terbuka, bertanggungjawab dan berwawasan, serta beriltizam untuk menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan sejagat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×