PUTRAJAYA: Kerajaan digesa merangka strategi nasional yang komprehensif bagi membebaskan negara daripada masalah anjing liar, sekali gus menamatkan pendekatan ad hoc yang dilihat gagal menyelesaikan isu berkenaan secara tuntas.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, isu anjing liar bukan lagi masalah terpencil kerana kes serangan dan gangguan terhadap orang awam dilaporkan berlaku hampir setiap hari di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Beliau berkata, tindakan hanya melaksanakan operasi tangkapan selepas berlakunya insiden tidak mencukupi untuk menangani punca sebenar masalah tersebut.
“Negara tidak boleh berterusan menangani isu anjing liar secara ad hoc tanpa satu perancangan menyeluruh yang melibatkan semua pihak berkaitan.
“Kita memerlukan pendekatan jangka panjang yang mampu mengurangkan populasi anjing liar secara sistematik dan berkesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Batu Pahat, Johor.
Radzi berkata, pengalaman beliau menetap hampir 20 tahun di Australia membuktikan masalah anjing liar boleh dikawal menerusi gabungan undang-undang yang tegas, pelesenan yang ketat dan kesedaran awam yang tinggi.
Katanya, sepanjang berada di Melbourne, Canberra, Sydney dan Hobart, beliau hampir tidak pernah melihat anjing liar berkeliaran di kawasan awam walaupun jutaan anjing dipelihara oleh masyarakat negara itu.
“Pemilik anjing di Australia bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka tidak dilepaskan di luar kawasan rumah dan sentiasa berada dalam kawalan ketika dibawa ke tempat awam.
“Sekiranya berlaku serangan akibat kecuaian pemilik, tindakan undang-undang yang tegas boleh dikenakan termasuk denda dan pendakwaan, sekali gus mendorong pematuhan yang tinggi terhadap peraturan sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Putrajaya dijadikan projek perintis bandar bebas anjing liar memandangkan populasi haiwan tersebut di kawasan berkenaan masih terkawal berbanding kebanyakan kawasan perbandaran lain.
Katanya, pelaksanaan pelan tindakan bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan perlu dimulakan di Putrajaya sebelum diperluaskan ke seluruh negara bagi merealisasikan matlamat Malaysia bebas anjing liar dalam tempoh beberapa tahun akan datang. – UTUSAN










