KLUANG: Seorang lelaki maut manakala isteri dan bayi lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dipercayai selepas dikejar seekor anjing liar di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Simpang Renggam, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 7.30 malam itu menyebabkan mangsa, Amirul Azim Hamdan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Katanya, isteri mangsa yang berusia 28 serta bayi lelaki mereka yang berusia setahun lapan bulan pula cedera.
“Siasatan awal mendapati mereka menaiki motosikal jenis Benelli TNT300 dari arah Tasik Machap menuju ke kawasan perumahan di Taman Murni.
“Motosikal itu dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing liar sehingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Scania yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambah Bahrin, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Isteri dan bayi mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pemandu lori berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun telah dilakukan ujian urin dan mendapati dia negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










