Penduduk Mengkibol mahu isu anjing liar, banjir diatasi

Penduduk Mengkibol mahu isu anjing liar, banjir diatasi

MASALAH anjing liar antara perkara paling membimbangkan terutama kepada penunggang motosikal pada waktu malam di sekitar Mengkibol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Masalah anjing liar yang berkeliaran di sekitar Mengkibol terus menghantui penduduk sejak sekian lama sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan serta menjejaskan keselesaan mereka.

Penduduk mendakwa, isu berkenaan masih belum menemui penyelesaian menyeluruh meskipun pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Surau Kampung Majid, Mohd. Hafez Mohd. Salleh, 44, berkata, masalah anjing liar antara perkara paling membimbangkan terutama kepada penunggang motosikal pada waktu malam.

Katanya, terdapat penunggang motosikal termasuk penghantar makanan yang berdepan risiko terjatuh atau terbabas apabila dikejar haiwan berkenaan ketika melalui kawasan tertentu.

“Aduan kepada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) telah dibuat berulang kali, tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang tindakan atau maklum balas.

“Ini berkaitan soal keselamatan. Penunggang motosikal termasuk penghantar makanan yang bergerak sekitar pukul 2 atau 3 pagi pernah hampir terlanggar atau dikejar anjing liar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di kawasan perumahan, malah turut melibatkan persimpangan jalan dan kawasan komersial apabila haiwan berkenaan dilihat bergerak secara berkumpulan.

“Keadaan itu sukar dijangka dan boleh membahayakan pengguna jalan raya terutama apabila anjing liar berkeliaran dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Selain itu, pesara anggota tentera laut, Jasman Jairot, 55, dari Taman Sri Impian berkata, aduan berkaitan masalah anjing liar telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan, namun tindakan yang boleh diambil mempunyai batasan tertentu terutama berkaitan aspek kebajikan haiwan.

“Pihak berkuasa sememangnya memberi maklum balas terhadap aduan penduduk, namun masalah tersebut masih memberi kesan kepada komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, masalah banjir kilat turut menjadi kebimbangan penduduk apabila kejadian masih berlaku walaupun kerja menaik taraf sistem perparitan telah dilaksanakan sebelum ini.

Penduduk sekitar mendakwa, beberapa usaha penambahbaikan termasuk kerja menaik taraf sistem perparitan dan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dijalankan, namun masalah berkenaan kembali berulang susulan pembangunan pesat di kawasan itu.

Mohd. Hafez berkata, keadaan bertambah baik selepas kerja penambahbaikan dilakukan, namun hujan lebat berterusan lebih sejam masih menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Katanya, penduduk mengharapkan pelan mitigasi banjir jangka panjang yang mampu menangani kesan pembangunan pesat di Mengkibol.

“Kami tidak mahu penyelesaian sementara. Kami mahu langkah jangka panjang supaya apabila pembangunan diteruskan, masalah sama tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hafez turut membangkitkan isu tanah persendirian terbiar yang dikatakan menjadi lokasi pembiakan ular serta haiwan liar yang memasuki kawasan kediaman.

Mohd. Hafez berkata, mekanisme penguatkuasaan lebih jelas diperlukan terhadap pemilik tanah persendirian yang gagal menyelenggara kawasan masing-masing.

Katanya, penduduk hanya mampu menguruskan kawasan dalam lingkungan kediaman sendiri, namun kawasan luar pagar yang terbiar terus mendatangkan risiko keselamatan.

“Perancangan pembinaan di sekitar Mengkibol memerlukan perancangan lebih tersusun supaya aspek infrastruktur, keselamatan awam dan alam sekitar bergerak seiring dengan pembangunan.

“Kami bukan meminta layanan istimewa. Kami hanya mahu perancangan yang betul supaya masalah ini tidak terus berulang.

“Diharapkan bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memainkan peranan dalam menangani perkara sebegini daripada berulang lagi, kerana ia amat menyukarkan pergerakan harian penduduk sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN