85 peratus kemalangan di lebuh raya akibat kecuaian pemandu

85 peratus kemalangan di lebuh raya akibat kecuaian pemandu

ALEXANDER Nanta Linggi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Faktor manusia menyumbang kepada 85.4 peratus daripada 26,675 kemalangan yang dicatatkan di lebuh raya bertol di seluruh negara, pada tahun lalu.

Berdasarkan statistik Pangkalan Data Kemalangan di Lebuhraya (MHROADS) yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), daripada jumlah kemalangan itu, 839 kes nahas maut dilaporkan pada tahun sama.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu 85.4 peratus berpunca daripada faktor manusia manakala 14.6 peratus lagi disumbang oleh faktor kenderaan dan persekitaran.

Katanya, data itu penting untuk membantu semua pihak mengenal pasti lokasi berisiko dan merancang intervensi keselamatan.

Tambahnya, bagi mengatasi kes keselamatan di lebuh raya bertol, LLM dengan kerjasama IJM Corporation Berhad dan Kumpulan Tol IJM memperkenalkan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar.

“Pelaksanaan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar ini akan memperkukuhkan pengurusan trafik secara lebih pintar, selamat dan responsif,” katanya selepas merasmikan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan IJM di sini, hari ini.

Alexander berkata, buat masa ini, Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan IJM melibatkan tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, keadaan trafik di lebuh raya tersebut dipantau secara 24 jam melalui 873 kamera litar tertutup (CCTV) dan 278 papan tanda mesej elektronik (VMS).

“Sistem ini membolehkan kejadian seperti kemalangan, kenderaan rosak, objek di atas jalan, penurupan lorong, kesesakan luar biasa dapat dikesan dengan lebih awal.

“Maklumat itu membolehkan tindakan segera diselaraskan serta amaran disampaikan kepada pengguna melalui VMS, aplikasi navigasi, media sosial dan saluran maklumat trafik,” katanya.

Katanya, penyelarasan antara Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM dengan pusat pengurusan trafik syarikat konsesi amat penting khususnya ketika waktu puncak, musim perayaan, kemalangan besar, bencana dan cuaca buruk.

Beliau turut berharap inisiatif seperti Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar dapat diperluaskan ke semua 34 lebuh raya bertol di negara yang melibatkan 2,151 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×