PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) melalui permulaan musim terburuk dalam tempoh 19 tahun selepas tewas 1-2 kepada Monaco di laman sendiri, sekali gus gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi pertama Ligue 1 musim ini.
Lebih mengejutkan, keputusan itu hadir hanya beberapa hari sebelum juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu memulakan kempen mempertahankan mahkota Eropah mereka.
Namun, pengendali Luis Enrique enggan panik dan menyifatkan kekalahan berkenaan lebih berpunca daripada nasib yang tidak menyebelahi pasukannya.
“Tiada sebab untuk bimbang. Saya katakan ini dengan jujur. Berapa banyak percubaan tepat Monaco? Dua. Berapa gol? Dua.
“Kita akan lihat pada penghujung musim sama ada keadaan ini akan seimbang,” katanya selepas perlawanan.
PSG terlebih dahulu mendahului pada separuh masa pertama, namun Monaco bangkit selepas rehat untuk menjaringkan dua gol dan melengkapkan kebangkitan di Parc des Princes.
Luis Enrique tetap mempertahankan prestasi anak buahnya dengan menegaskan mereka melakukan tekanan dengan baik, malah jauh lebih berkesan berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.
“Kami melakukan tekanan dengan sangat baik, jauh lebih baik berbanding banyak perlawanan ketika kami tidak dibolosi. Tetapi nasib tidak menyebelahi kami.
“Monaco tahu jika mereka bermain menentang kami dengan cara ini dalam 10 perlawanan, kami akan menang lapan, seri sekali dan kalah sekali. Ini adalah kekalahan yang satu itu,” katanya.
Kutipan dua mata daripada tiga perlawanan itu menyaksikan PSG mencatat permulaan terburuk sejak musim 2007-08, ketika mereka hampir tersingkir daripada Ligue 1 selepas menamatkan saingan di tempat ke-16.-AGENSI










