BUDAPEST: Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan status mereka sebagai kuasa baharu bola sepak Eropah apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final mendebarkan di Arena Puskas, awal pagi tadi.
Pertembungan dua gergasi itu terpaksa diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan.
Arsenal terlebih dahulu menggamatkan stadium apabila Kai Havertz meledak gol pembukaan seawal minit keenam menerusi rembatan padu yang gagal ditepis penjaga gol PSG, Matvey Safonov.
Gol tersebut menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta tampil lebih yakin, malah berjaya menyekat gerakan serangan PSG yang bergelut mencari rentak sepanjang babak pertama.
PSG akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 selepas Ousmane Dembele tenang menyempurnakan sepakan penalti susulan Khvicha Kvaratskhelia dijatuhkan oleh Cristhian Mosquera di dalam kawasan penalti.
Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan, namun gagal menghasilkan gol kemenangan sehingga tamat masa sebenar dan masa tambahan.
Penentuan juara akhirnya ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan PSG lebih tenang mengendalikan tekanan.
Detik malang menimpa Arsenal apabila Gabriel gagal menyempurnakan sepakannya selepas bola yang disepak melambung tinggi melepasi palang gol.
PSG tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila menyempurnakan baki sepakan untuk meraih kemenangan 4-3 sekali gus mempertahankan trofi paling berprestij Eropah itu.
Kejayaan tersebut menyaksikan PSG mengukuhkan dominasi mereka di pentas benua selain muncul antara segelintir kelab yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara dalam dua musim berturut-turut.-AGENSI










