Pembeli D'Aman Residensi mula terima kunci selepas tujuh tahun

Pembeli D’Aman Residensi mula terima kunci selepas tujuh tahun

SANDREA NG SHY CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Projek perumahan swasta, D’Aman Residensi Meru Raya yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu, kini siap sepenuhnya apabila pembeli mula menerima kunci kediaman masing-masing pada Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penyerahan kunci dilakukan selepas dua blok apartmen setinggi 15 tingkat berkenaan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada April lalu.

“Sekarang memang dalam proses untuk serah kunci dan pembeli pun telah dihubungi oleh pihak pemaju bagi urusan berkenaan.

“Saya difahamkan sebahagian pembeli yang telah menjelaskan bayaran deposit dan bayaran berkaitan telah mendapat kunci masing-masing dan proses ini masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Residensi Jati De Meru Fasa 1B (Blok A), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Setia Awan Group, Doh Fan Kent dan Pengurus Besarnya, Tan Chong Seng.

Menurut Sandrea, kejayaan menyiapkan projek berkenaan didorong kerjasama pelbagai agensi teknikal termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, kelonggaran turut diberikan di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan jabatan Persekutuan berhubung pendaftaran hak milik strata.

“Pihak pemaju diberikan tempoh setahun untuk memenuhi syarat berkaitan pendaftaran hak milik strata bagi membantu mempercepatkan pengeluaran CCC dan seterusnya proses penyerahan kunci kepada pembeli.

“Jadi saya kira dari segi projek terbengkalai, bagi D’Aman Residensi Meru Raya, sekarang ia telah diselesaikan apabila pembinaan sudah siap sehingga membolehkan kunci diserahkan kepada pembeli,” katanya.

D’Aman Residensi sebelum ini direkodkan antara lima projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di Perak yang dipulihkan menerusi kerjasama strategik Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersama Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Empat projek perumahan lain ialah Taman Tapah Permai, Tapah; Taman Cempaka II, Manjung; Taman Seri Emas, Kampar dan Taman Limau Mas, Beruas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×