Mindef bantu nasihat guaman pesara hadapi isu rumah terbengkalai 

Mindef bantu nasihat guaman pesara hadapi isu rumah terbengkalai 

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) hanya boleh bertindak dengan memberikan nasihat guaman kepada pesara tentera yang berdepan masalah projek perumahan terbengkalai.  

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, isu pembelian rumah adalah bidang kuasa khusus Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) melibatkan pembeli dan pemaju.  

“Sebenarnya, isu-isu yang berbangkit sekiranya anggota membeli rumah secara bersendiri, kita boleh berikan khidmat nasihat seperti guaman bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN-Ketereh) mengenai usaha kerajaan dalam membantu pesara tentera yang ditipu akibat pembelian projek perumahan terbengkalai.

Adly berkata, pihak kementerian komited memperkasa pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosioekonomi bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelbagai inisiatif strategik yang inklusif.

Katanya, antara inisiatif utama adalah pelaksanaan Work-Based Learning (WBL), iaitu pendekatan pembelajaran berasaskan kerja yang diiktiraf secara akademik. 

“Inisiatif ini dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun sebelum anggota ATM menamatkan perkhidmatan.

“Pendekatan ini bertujuan mengiktiraf pengalaman dan kemahiran anggota ATM, selain memetakan pengalaman tersebut kepada kurikulum akademik untuk membolehkan mereka memperoleh pensijilan atau kelayakan akademik yang diiktiraf industri.

“Inisiatif itu selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, yang turut menekankan komitmen kementerian terhadap penyediaan latihan peralihan dan peluang kerjaya kedua kepada anggota ATM selepas tamat perkhidmatan,” katanya. 

Beliau berkata, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) terus memainkan peranan penting dalam menyediakan platform latihan peralihan kepada bakal pesara ATM.

Secara purata, kongsinya, sekitar 5,000 anggota ATM menjalani latihan peralihan setiap tahun di bawah pengurusan Perhebat bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan sivil dan meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan serta keusahawanan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×