KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 1,171 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai setakat ini melibatkan 139,848 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM113.55 bilion.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu adalah hasil penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditugaskan secara khusus menangani projek-projek bermasalah.
“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak 244 projek melibatkan 27,101 unit rumah dengan GDV RM21.07 bilion berjaya dipulihkan.
“Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa, selamat dan berdaya huni selaras dengan prinsip shelter for all,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai perkembangan projek Residensi Hektar Gombak yang sehingga kini belum menunjukkan kerja-kerja penyiapan dimulakan walaupun kementerian sebelum ini memaklumkan jangkaan bermula pada 15 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, projek Residensi Hektar Gombak yang melibatkan lebih 2,400 pembeli kini berjaya diselamatkan selepas KPKT memperoleh suntikan dana baharu berjumlah RM125 juta daripada sebuah institusi kewangan tempatan.
“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 30 Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2027 dengan pelaksanaan disambung oleh kontraktor utama baharu iaitu Bina Permai Sdn. Bhd.
“Projek ini sebenarnya adalah projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumah WIP) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang dimulakan sejak 2018 dan sepatutnya siap pada 2022. Namun dengan usaha serta campur tangan KPKT dan Kerajaan Madani, akhirnya nasib pembeli rumah terbela,” katanya.
Selain itu, Kor Ming berkata, KPKT turut menyediakan bantuan penstrukturan semula pinjaman melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan institusi kewangan, selain mengeluarkan surat pengesahan penamatan perjanjian jual beli bagi melindungi pembeli yang terjejas.
“Kerajaan Madani akan terus komited memulihkan projek perumahan bermasalah agar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah mendapat kediaman lebih selesa, selamat dan berdaya huni selaras dengan slogan Rumahku Syurgaku,” katanya. – UTUSAN










