AS ramal perang perdagangan 'binasakan’ Kanada - Utusan Malaysia

AS ramal perang perdagangan ‘binasakan’ Kanada

GAMBAR fail Pelabuhan Montreal, Montreal, Quebec. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Pre­siden, Donald Trump memberi amaran Kanada tidak bijak jika menyangka Ottawa mampu memenangi perang dagang dengan Amerika Syarikat (AS) dan meramalkan kesan ‘membinasakan’ terhadap negara jiran di utara itu.

Rundingan antara Washington dan Ottawa gagal pada lewat Jumaat, menyebabkan tarif baharu AS sebanyak 50 peratus terhadap kira-kira AS$20 billion (RM80.84 bilion) barangan Kanada berkuat kuasa, atau sekitar 5.5 peratus daripada eksport Kanada ke Amerika.

Kanada kemudian mengumumkan akan membalas tarif AS dengan levi baharu khususnya menyasarkan industri keluli dan tenusu Amerika yang bakal berkuat kuasa pada 8 September.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, Kanada akan mengalami kesan lebih buruk jika cuba menentang Trump dalam perang perdagangan itu. AS kini menyumbang kira-kira 70 peratus daripada eksport Kanada.

“Kita merupakan rakan dagang yang baik, bukan? Tetapi Kanada mendapat manfaat daripada perdagangan dengan AS jauh lebih besar berbanding manfaat yang diterima Washington daripada perdagangan de­ngan Kanada.

“Untuk menganggap mereka akan berperang dengan Trump dan benar-benar memenangi perang itu dengan AS, saya fikir itu adalah satu tindakan yang bodoh,” katanya kepada ranca­ngan Fox News Sunday.

Beliau meramalkan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney akan kembali ke meja rundingan dengan pantas kerana ia akan membinasakan negaranya.

Carney bagaimanapun bertegas pada Sabtu apabila mengumumkan tarif balas terhadap AS selepas menarik diri daripada ‘perjanjian buruk’ perdagangan, sekali gus memperlihatkan keretakan yang semakin mendalam antara kedua-dua sekutu lama itu.

“Anda berada dalam perang apabila anda diserang. Kami dise­rang,” kata Carney.

Carney berkata, AS pada saat-saat akhir mengemukakan tuntutan yang akan mengehadkan perjanjian perdagangan Kanada dengan negara lain, selain ancaman yang tidak boleh diterima terhadap bahasa Perancis dan budaya Quebec.

Trump membalas kenyataan itu pada awal Ahad, mendakwa Kanada mahukan manfaat seperti menjadi sebuah negeri dalam AS.

Penganalisis dasar perdaga­ngan dari Yayasan Hinrich, Deborah Elms berkata, pada akhirnya tiada pihak akan menang dalam perang tarif secara timbal balas.

“Tarif Kanada akan dibayar oleh rakyat  dan syarikat AS yang mengimport barangan dari Kanada. Jadi, ia akan menjejaskan rakyat AS, bukannya rakyat Kanada.

“Kanada akan menghadapi kesukaran yang jauh lebih besar untuk mengeksport ke AS de­ngan tarif 50 peratus. Itu akan memusnahkan margin keuntungan. Jika Kanada bertindak balas, akan ada kesan tambahan terhadap rakyat Kanada yang cuba mengimport barangan dari AS,” katanya kepada program Asia First CNA.

Elms berkata, implikasinya juga mungkin amat ketara bagi Asia, khususnya beberapa negara yang sudah mencapai atau sedang merundingkan perjanjian perdagangan dengan AS. Ini  kerana ia mengandungi peruntukan sehingga boleh menjejaskan perdagangan mereka dengan negara ketiga, tambahnya.

“Soalan bagi banyak rakan kongsi Asia ialah, jika Kanada boleh menolak peruntukan itu, adakah kami juga dibenarkan menolaknya? Jika kami diwajibkan menyesuaikan dasar perdagangan berdasarkan kehendak Washington, itu juga bermasalah,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN