‘Mereka senyap-senyap bercuti ke Kuala Lumpur’ 

‘Mereka senyap-senyap bercuti ke Kuala Lumpur’ 

SITUASI pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Selalunya kalau mereka hendak turun Kuala Lumpur, mereka akan beritahu. Tetapi kali ini mereka senyap-senyap bercuti ke sini.”

Demikian kata seorang waris mangsa yang dikenali sebagai Kak Siti mengenai tiga sekeluarga yang maut selepas dilanggar lori ketika berjalan kaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa adalah pada 26 Julai lalu ketika menghadiri kenduri perkahwinan anaknya di Tanjung Malim, Perak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Waktu itu kami sempat berjumpa di Tanjung Malim ketika kenduri kahwin anak saya pada 26 Julai lalu. Tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir kami.

“Selalunya kalau mereka hendak turun Kuala Lumpur, mereka akan beritahu. Tetapi kali ini mereka senyap-senyap bercuti,” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, dia menerima perkhabaran mengenai tragedi menimpa kesemua mangsa kira-kira pukul 7 pagi tadi. 

Jelasnya, mereka difahamkan tiba di ibu negara semalam dan menginap di sebuah hotel di Chow Kit dekat sini. 

Ujarnya, waris pada mulanya keliru apabila menerima berita mengenai kemalangan itu kerana menyangka mangsa terbabit dalam kemalangan kenderaan sebelum mengetahui mereka sebenarnya sedang berjalan kaki.

“Pada mulanya kami ingat mereka kemalangan kereta sebab mendapat berita mengatakan berlaku kemalangan. Kami tidak sangka mereka sebenarnya sedang berjalan kaki sebelum dilanggar,” katanya

Katanya, seorang lagi anak mangsa yang merupakan anak sulung tidak menyertai perjalanan berkenaan dan berada di kampung sebelum datang ke Kuala Lumpur selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kami tahu mereka memang ada rancangan untuk datang ke sini, cuma kali ini mereka tidak banyak beritahu. Selalunya kalau hendak turun Kuala Lumpur, mereka akan beritahu kami.

“Anak sulung tidak ikut. Dia berada di kampung dan kemudian terus datang ke hotel untuk mengambil barang-barang mereka selepas mendapat berita mengenai kemalangan,” katanya.

Terdahulu, identiti tiga sekeluarga yang maut dikenal pasti sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53 iaitu pesara tentera bersama dua anak perempuannya,  Siti Nor Sazlin, 25 dan Siti Darwisyah Auni, 12,

Isteri mangsa yang juga suri rumah, Norhayati Razali, 55, turut menjadi mangsa dalam kejadian itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan difahamkan dalam keadaan stabil. 

Sementara itu, anak saudara kepada Allahyarham Shaik Mohd. Firdaus,  Zaid Darfis, 39, berkata, dia dimaklumkan keluarga Allahyarham tiba di Kuala Lumpur kelmarin untuk menziarahi ibunya di Semenyih. 

“Arwah sempat hubungi kakak beritahu sudah sampai di Kuala Lumpur. Saya hanya mengetahui kejadian (kemalangan) ini selepas mentua telefon kira-kira 7.30 pagi tadi.

“Memang terkejut. Lepas itu bila tengok Twitter, TikTok baru nampak kes ini (tular),” katanya.

Tambahnya, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ketika majlis perkahwinan anak sulung Allahyarham iaitu Siti Nor Shakira, 28, di Kampar, Perak beberapa bulan lepas.

“Masa jumpa itu arwah macam biasa sahaja. Kejadian ini memang tidak disangka,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen tanpa muatan ketika berada di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN