Wanita mengaku bersalah anjur kumpulan wang kutu

Wanita mengaku bersalah anjur kumpulan wang kutu lebih RM1.7 juta

SITI Zulaika Ahmad Sabri dikawal anggota polis selepas mengaku bersalah kerana menganjurkan kumpulan wang kutu semasa pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menganjurkan kumpulan wang kutu melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM1.7 juta sejak tahun lalu.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh belum diputuskan hari ini sementara menunggu fakta kes pada 22 September depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai 52 individu di mana setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Julai 2025 hingga Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Sharmila tidak membenarkan sebarang jaminan walaupun Muhammad Fahmi menawarkan RM100,000 untuk wang jaminan dan menyerahkan dokumen perjalanan termasuk pas sempadan.

Malah, Siti Zulaika juga tidak membuat sebarang rayuan terhadap jaminannya dan akan ditempatkan di Penjara Pokok Sena sementara menanti prosiding berikutnya.

Pada 4 Ogos lalu, akhbar melaporkan kehilangan tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu oleh bapa wanita terbabit.

Kehilangan mereka didakwa akibat hutang permainan kutu yang dianjurkan dengan wanita terbabit, disyaki berperanan sebagai ibu kutu dan mengumpulkan wang mangsa-mangsanya.

Dua hari kemudian, lelaki dan wanita berusia 39 serta 36 tahun itu menyerah diri apabila hadir ke Balai Polis Kubang Pasu, kira-kira pukul 1.50 pagi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×