Tempoh sah laku pasport Malaysia diseragam 10 tahun

Tempoh sah laku pasport Malaysia diseragam 10 tahun

Tempoh sah laku pasport Malaysia diseragam 10 tahun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tempoh sah laku Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) melebihi 10 tahun akan dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA selama 10 tahun sahaja serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.

Menurut beliau, perkara itu susulan isu tular kesulitan perjalanan ke luar negara yang dialami oleh beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah merujuk perkara ini kepada pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun.

“Namun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

“Bagi menangani kekeliruan ini, Jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.

“Justeru, berkuat kuasa serta-merta, tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu ini diselesaikan dengan  pihak syarikat penerbangan dan ICAO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Zakaria berkata, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

Katanya, pemegang PMA yang terlibat akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.

“Jabatan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara.

“JIM komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×