Pesakit lemah otot cemerlang akademik dapat pengiktirafan MBR

Pesakit lemah otot cemerlang akademik dapat pengiktirafan MBR

SITI Hawa Apandi (tengah) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records di kediamannya di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perjalanan pendidikan Dr. Siti Hawa Apandi bukanlah mudah.

Menghidap atrofi otot spina (SMA) yang menyebabkan otot-otot badannya semakin lemah, wanita berusia 37 tahun itu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak selain mendapat bantuan sepenuhnya daripada ibunya dalam menjalani rutin harian.

Namun, di sebalik kekura­ngan fizikal yang dihadapi, beliau membuktikan tiada yang mustahil apabila berjaya menamatkan pengajian secara berterusan daripada peringkat diploma sehingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut menerima beberapa lagi kejayaan seperti anugerah khas selain Anugerah Dekan pada setiap semester selain memperoleh Ijazah Kelas Pertama.

Kejayaan luar biasa itu turut melayakkan Siti Hawa menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pesakit SMA pertama menamatkan pengajian tinggi secara berterusan di universiti sama.

Namun di sebalik kejayaan itu, ibunya, Zaidah Tamjis, 63, menjadi menjadi tulang belakang kepada Dr. Siti Hawa sejak hari pertama wanita itu ‘me­langkah’ ke menara gading.

Menurut Zaidah, selama lebih sedekad, dia menjadikan kolej kediaman UMPSA sebagai rumah keduanya selepas berpindah masuk bersama anaknya ketika Siti Hawa memulakan pengajian diploma pada 2007.

“Saya sentiasa menemani anak saya sepanjang pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana hingga ke PhD.

“Siti Hawa menamatkan pe­ngajian Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2016 sebelum memperoleh PhD dalam Kejuruteraan Sains Komputer pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, dia tidak dapat menghadiri Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 bagi menyarungkan jubah PhD ke­rana sedang menerima rawatan rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Mahkota Aman, di sini, semalam.

Dalam kegembiraan itu, terakam detik sayu apabila Siti Hawa menerima pengiktirafan itu dalam keadaan dirinya semakin lemah bahkan kini hanya terlantar di katil khas.

Kata ibunya, keadaan anak­nya semakin lemah sejak tahun lalu selepas dia dijangkiti influen­za sehingga terpaksa dirawat di hospital.

“Pada mulanya dia hanya mengalami batuk, namun doktor mengesahkan dia dijangkiti influenza dan ini juga merupakan kesan daripada penyakit sedia ada,” jelasnya.

Sementara itu, majlis pe­nyam­paian pengiktirafan tersebut disempurnakan wakil Malaysia Book of Records dan turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias.

Yatimah berkata, kejayaan Siti Hawa membuktikan komitmen tinggi beliau dan keluarga­nya sepanjang lebih 10 tahun menempuh keseluruhan laluan akademik bermula daripada diploma, ijazah sarjana muda, sarjana sehingga PhD. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×