PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan rayuan Badan Peguam bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Lim Chong Fong yang turut bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Leonard David Shim.
Panel hakim menetapkan keputusan disampaikan pada satu tarikh lain manakala pengurusan kes pula ditetapkan pada 7 Ogos ini.
Terdahulu, mahkamah selesai mendengar penghujahan oleh wakil Badan Peguam, Peguam Negara dan Najib.
Badan peguam diwakili Zainur Zakaria dan Datuk Yeo Yang Poh manakala, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Peguam Negara serta peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Badan Peguam merayu agar prosiding semakan kehakiman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Sebelum itu, Zainur dan Yang Poh masing-masing berhujah bahawa keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya boleh dicabar di mahkamah.
Yang Poh menjelaskan, walaupun Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa mutlak, namun baginda perlu mendapat nasihat Lembaga Pengampunan.
Katanya, nasihat Lembaga Pengampunan boleh dicabar di mahkamah dan Badan Peguam memohon agar isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman, didengar dan diputuskan melalui perbicaraan.
Manakala, Ahmad Hanir berhujah agar rayuan itu ditolak kerana Mahkamah Tinggi kerana tidak mempunyai bidang kuasa mendengar perkara yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman dan hujah tersebut digunapakai oleh Muhammad Shafee.
Pada 11 November 2024, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati, perkara yang dimohonnya tidak boleh diputuskan melalui mahkamah.
Beliau berpendapat, nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh YDPA.
Mahkamah berpuas hati, kuasa pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan budi bicara mutlak YDPA, bukannya Lembaga Pengampunan atau kuasa yang diwakilkan kepadanya.
Pada 26 April 2024, Badan Peguam memfailkan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden. – UTUSAN










