Lubnan keluar waran tangkap ahli perniagaan didakwa bertemu Netanyahu - Utusan Malaysia

Lubnan keluar waran tangkap ahli perniagaan didakwa bertemu Netanyahu

Gambar fail Antoun Sehnaoui (kiri) dan pelakon Diamand Bou Abboud.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pihak berkuasa kehakiman Lubnan mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan berpengaruh, Antoun Sehnaoui yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Sumber kehakiman Lubnan memberitahu AFP pendakwa raya dan hakim, Ahmad Rami mengeluarkan notis orang dikehendaki selama 30 hari terhadap Sehnaoui atas tuduhan berurusan dengan musuh Israel dan melanggar undang-undang boikot negara itu terhadap Israel.

Undang-undang Lubnan me­larang sebarang hubungan dengan Israel. Larangan itu berkuat kuasa meskipun kedua-dua negara memulakan rundingan secara langsung di bawah tajaan Amerika Syarikat (AS) pada April, sebulan selepas konflik terbaharu tercetus antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Wartawan Axios, Barak Ra­vid melaporkan bahawa pada malam Isnin di Washington, Sehnaoui bersama bekas utusan khas AS, Morgan Ortagus menjadi penganjur kepada satu majlis makan malam yang dihadiri beberapa tokoh berprofil tinggi termasuk Netanyahu.

Majlis makan malam itu diadakan bagi memperingati Se­nator Parti Republikan, Lindsey Graham, yang meninggal dunia bulan ini.

Sekeping gambar yang memaparkan Sehnaoui, seorang penganut Kristian Lubnan, duduk semeja dengan Netanyahu sehingga  mencetuskan kemarahan di media sosial dalam kalangan pelbagai kelompok politik di Lubnan.

Sumber kehakiman itu, yang enggan dikenali berkata, pasukan keselamatan Lubnan mengesahkan gambar ber­kenaan adalah tulen dan tidak diubah suai.

Dalam satu lagi gambar yang dimuat naik di akaun X milik Netanyahu, Sehnaoui turut kelihatan berdiri di belakang pemimpin Israel itu.

Sumber berkenaan berkata, beberapa peguam turut mengemukakan aduan rasmi yang menuntut Sehnaoui didakwa atas kesalahan berkaitan hubungan dengan Israel dan berkomunikasi dengan Netanyahu.

Pendakwa raya kini akan meneliti perkara itu sebelum memutuskan sama ada kes itu  akan dirujuk ke mahkamah tentera. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN