Zahidi mengaku tandatangan SD sokong Hishammuddin - Utusan Malaysia

Zahidi mengaku tandatangan SD sokong Hishammuddin

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Zahidi Zainul Abidin mengakui beliau antara 25 ahli Parlimen yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap UMNO.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau bertindak begitu kerana tidak menyokong langkah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ahmad Zahid dipercayai mengambil tindakan itu selepas Presiden UMNO itu ditolak daripada memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Masalah Ahmad Zahid ini, beliau tidak boleh nak lantik diri dia jadi Timbalan Perdana Menteri, beliau pergi kepada Anwar, itu memang kita tidak sokong. Mana boleh macam itu?

“Sebab itu saya sokong untuk menjadikan Hishammuddin sebagai jurucakap supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri dipilih dalam kalangan UMNO, lepas itu nak lantik siapa pun jadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kah, Hishammuddin kah, Shahidan Kassim kah, terpulanglah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui beliau adalah perancang utama dalam mengumpul SD dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Hishammuddin.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata, SD itu bukan untuk menjadikan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri sete­rusnya.

Mengulas lanjut, dedah Zahidi lagi, antara agenda SD itu adalah menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk UMNO.

“Sebab timbalan ni pen­ting, untuk kuatkan UMNO, kita tandatangan itu, tidak kira Hishammuddin atau siapa, kita nak UMNO mesti pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tidak kira siapa.

“Bila Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO, sekurang-kurangnya adalah bajet tambahan nak menghadapi pilihan raya nanti,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×