DENGKIL: Kerajaan akan mempercepat pembangunan projek perumahan khas untuk penjawat awam di kawasan bandar utama susulan peningkatan kadar sewa yang semakin membebankan kumpulan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kos sewa kediaman yang tinggi kini menjadi antara masalah utama dihadapi penjawat awam terutama di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh.
Beliau berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam antara 15 hingga 30 peratus, peningkatan tersebut dalam sesetengah keadaan masih tidak mampu menampung kenaikan kos sewa rumah.
“Walaupun kita naikkan gaji mereka di antara 15 hingga 30 peratus, tapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh, ia tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil, di sini semalam.
Katanya, kerajaan telah mengenal pasti tanah milik kerajaan yang berpotensi dibangunkan bagi tujuan perumahan penjawat awam termasuk tanah milik agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Anwar berkata, sebarang kawasan yang mempunyai ruang bersesuaian akan dibangunkan dengan projek perumahan yang menawarkan kadar sewa lebih rendah bagi mengurangkan beban kos sara hidup penjawat awam.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan akan disegerakan sebagai sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
Dalam perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Anwar menyifatkan pertandingan sengit termasuk jangkaan ‘tiga penjuru’ sebagai lumrah dalam amalan demokrasi.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, apa yang lebih penting ialah semua pihak perlu memastikan kempen berlangsung secara sopan serta berlandaskan akhlak yang baik sepanjang tempoh pilihan raya.
“Tiga ke enam penjuru ke, ini lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen tu sopan, jaga akhlak, jangan lupa daratan.
“Bagi kita dalam Pakatan Harapan (PH) prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, bekerjasamalah. Malaysia ini sudah begini rupa. Ambillah sikap yang sederhana sikit. Cuba layani, santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya.
Anwar turut menyifatkan pengiktirafan dapatan Merdeka Center yang meletakkan beliau sebagai pemimpin politik paling disukai di negara ini tidak seharusnya membuatkan seseorang pemimpin itu leka.
“Kita sentiasa cuba lakukan yang sebaiknya, kerja lebih kuat dan jangan kadang-kadang terkulai dengan pujian-pujian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menafikan wujud sebarang arahan untuk menghalang mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri daripada memasuki kawasan Felda bagi menjalankan program atau aktiviti tertentu.
Katanya, dakwaan berhubung perkara itu tidak diketahuinya dan menegaskan kerajaan Persekutuan tidak mengeluarkan sebarang arahan seperti yang didakwa.











