KANGAR: Mohamad Sadek Rashid,34, etnik Rohingya yang menetap di Malaysia lebih 10 tahun lalu, mengakui rakyat negara ini cukup baik kerana memberi peluang kepada mereka meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.
Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa yang membabitkan penentangan terhadap etnik Rohingya, dia sedia berpindah ke negara ketiga sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Mohamad datang ke Malaysia pada 2012 melalui jalan laut dari sempadan Thailand dan mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Saya bekerja sebagai buruh binaan dan mendirikan rumah tangga dengan wanita sebangsa.
“Kami berterima kasih kepada Malaysia kerana layanan yang diberi sangat baik.
“Namun, bersedia berpindah jika diarahkan ke negara ketiga memandangkan untuk balik ke negara sendiri agak susah,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Tinjauan mendapati etnik berkenaan menetap berselerak di sekurang-kurangnya empat kawasan termasuk perkampungan di Tambun Tulang dan sekitar Simpang Empat.
Kebanyakkan mereka bekerja sebagai buruh kasar dan mengambil upah dalam sektor pertanian yang menyaksikan jumlah mereka di beberapa kawasan semakin ramai.
Penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, pertambahan etnik berkenaan ini mencetuskan kegusaran dan Aidiladha lalu, lebih 300 komunitinya berkumpul meraikan perayaan berkenaan.
“Kerajaan patut mengehadkan kemasukan mereka. Sekarang ini, ada yang sudah berkahwin dengan rakyat kita dan menetap di sini, dan ia perlu disekat segera,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afhtar Ishak, berkata, meskipun isu Rohingya di Perlis masih terkawal, namun semua pihak harus memainkan peranan memantau kemasukan secara haram ke negara ini.
Beberapa lokasi tumpuan Rohingya di Tambun Tulang, Simpang Empat dan Kayang, di mana kebanyakan mereka menyara hidup sebagai buruh kasar dan mengambil upah bertani. – UTUSAN










