357 kes malaria monyet di Sabah, satu kematian direkodkan

357 kes malaria monyet di Sabah, satu kematian direkodkan

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Sabah mencatatkan 357 kes malaria monyet sejak Januari hingga pertengahan April tahun ini dengan satu kematian direkodkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes berkenaan amat serius dan memerlukan tindakan bersepadu terutama membabitkan pengesanan awal, rawatan segera dan kawalan persekitaran di kawasan berisiko.

Beliau berkata, daerah Tawau, Ranau dan Kudat dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kes malaria monyet di negeri ini.

“Ini agak serius. Langkah penting ialah pengesanan awal dan rawatan segera.

“Semua klinik kesihatan dan hospital mempunyai keupayaan untuk mengesan kes malaria monyet ini termasuk menjalankan penentuan dan rawatan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Sandakan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis.

Dr Dzulkefly berkata, jangkitan malaria monyet yang berpunca daripada haiwan ini memerlukan kerjasama rapat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan agensi lain termasuk Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan dan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata, kawalan persekitaran juga perlu diberi perhatian berikutan risiko jangkitan meningkat apabila berlaku interaksi lebih dekat antara manusia dengan monyet terutama di kawasan habitat haiwan itu terganggu.

“Penerokaan kawasan hutan perlu dikawal kerana apabila habitat monyet terganggu, risiko haiwan itu interaksi dengan manusia meningkat.

“Pengurusan sampah juga penting kerana monyet tertarik kepada sampah. Jika pengurusan sisa domestik dilakukan dengan baik, kehadiran monyet dapat dikurangkan,” katanya.

Tambahnya, pendekatan ‘One Health’ perlu diperkukuh melalui pemantauan bersepadu membabitkan semua agensi berkaitan bagi memastikan punca risiko dapat dikenal pasti dan dikawal lebih awal.

Katanya, pendidikan berterusan kepada masyarakat juga penting terutama bagi kumpulan berisiko tinggi yang tinggal atau bekerja di kawasan berdekatan habitat monyet.

“Perlindungan kepada populasi berisiko tinggi perlu diwujudkan melalui pendidikan kepada masyarakat… kesedaran ini perlu diterangkan dan dipertingkatkan secara berulang kerana perubahan tingkah laku masyarakat memerlukan masa,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu kekurangan doktor di Sabah, Dr Dzulkefly berkata, cabaran itu bukan hanya berlaku di negeri ini namun turut membelenggu sistem kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata, isu bekalan doktor, pakar dan penempatan petugas kesihatan perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia tidak boleh diselesaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara bersendirian.

Katanya, perkara itu turut membabitkan agensi lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

Jelasnya lagi, antara langkah segera yang sudah dilaksanakan adalah penempatan 42 pegawai perubatan siswazah atau houseman di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, baru-baru ini.

“Kalau ambil saja Hospital Duchess of Kent, kita ada 42 house officer yang baru ditempatkan di Hospital Duchess of Kent dan 70 peratus daripada mereka adalah anak-anak Sabah… Saya mahu lihat perkara ini terus diperkembangkan,” katanya.

Beliau berkata, penempatan lebih ramai anak Sabah dalam perkhidmatan kesihatan di negeri sendiri dilihat antara pendekatan yang boleh membantu mengurangkan masalah kekurangan doktor terutama di hospital dan fasiliti kesihatan yang memerlukan tenaga kerja tambahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×