Kawasan SAR cari kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas diperluas

Kawasan SAR cari kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Mahkota Cheras semalam diperluas merangkumi sistem pembentungan bawah tanah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata,  operasi bermula pukul 8 pagi tadi akan dilaksanakan merangkumi radius sejauh lima kilometer.

“Satu pasukan kita akan bergerak daripada perangkap sampah berpatah kembali ke sini dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan menyusuri pembentungan yang ada daripada tempat mangsa jatuh.

“Kita akan meranduk masuk ke dalam pembentung sejauh hampir 300 meter menghala ke  Sungai Long,” katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, cabaran utama dalam operasi kali ini adalah melibatkan pemeriksaan pembentung bawah tanah yang mempunyai kedalaman sehingga 50 kaki  dengan diameter kira-kira dua meter.

Katanya, bagi melancarkan proses tersebut, pasukan SAR turut menggunakan peralatan khas iaitu kamera bertiang (pole camera) milik Indah Water Konsortium (IWK) bagi memantau ruang sempit di dalam sistem pembentungan berkenaan.

Operasi pencarian turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mangsa dikatakan sedang bermain bola di dalam kawasan pangsapuri tempat tinggalnya bersama tiga rakannya sebelum bola tersebut terjatuh ke dalam longkang dan mangsa cuba mengambilnya.

“Kami dimaklumkan rakan mangsa sempat memegang tangan mangsa namun begitu arus kuat menyebabkannya terlepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×