SUNGAI GOLOK (THAILAND): Polis Wilayah Narathiwat menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke Malaysia selepas merampas 65 kilogram (kg) bunga ganja dan 5,924 pil kuda dalam serbuan di sebuah ladang getah di Mukim Muno di sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan pukul 9.30 malam itu, dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
Jurucakap Polis Wilayah Narathiwat berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota melakukan intipan di lokasi serbuan.
Katanya, hasil intipan mendapati sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan ladang getah tersebut.
“Sebaik sahaja menahan kedua-dua suspek itu, anggota bertugas melakukan pemeriksaan ke atas kereta tersebut. Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bungkusan bunga ganja dan pil kuda di dalam tempat simpanan barang kenderaan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Jurucakap itu berkata, siasatan awal mendapati suspek sedang menunggu pihak lain mengambil dadah berkenaan untuk diseludup ke negara jiran melalui Sungai Golok.
Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit melibatkan rangkaian besar yang beroperasi di Wilayah Narathiwat dan Yala.
“Kita turut percaya sindiket ini mempunyai hubungan dengan kumpulan lain di utara Thailand.
“Kedua-dua suspek akan dituduh cuba mengeksport dan menjual narkotik Kategori 1 untuk tujuan komersial, menyeludup barang tanpa pelepasan kastam dan memiliki serta menjual herba terkawal (ganja) tanpa kebenaran,” ujarnya. – UTUSAN










