DALAM wacana kesusasteraan Melayu, nama Munsyi Abdullah Abdul Kadir (1796-1854) sering diangkat sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden.
Namun begitu, berdasarkan kertas kerja dibentangkan Dr. Cyril Skinner (1924-1986) dalam satu persidangan sejarah di Bangkok, Thailand pada 1977, ada seorang lagi tokoh terdahulu yang wajar diberi perhatian iaitu Munsyi Ahmad Rijaluddin Hakim Long Fakir Kandu (1780-1811),
seorang Chulia iaitu gelaran digunakan bagi golongan India-Muslim di Pulau Pinang pada zaman dahulu.
Sementara Skinner pula seorang sarjana kelahiran England yang memperoleh ijazah kedoktoran dari Universiti London dan tokoh penting dalam kajian sastera Melayu klasik di Malaysia dan Indonesia. Beliau menjadi pensyarah di Universiti Singapura pada 1955 sebelum menyertai Universiti Monash, Melbourne pada 1962 di Jabatan Pengajian Indonesia dan Melayu.
Dalam kertas kerjanya, Skinner memperkenalkan konsep ‘sastera peralihan’ (transitional literature) iaitu satu tahap penting antara sastera klasik dan sastera moden.
Menurutnya, karya Ahmad Rijaluddin merupakan antara contoh terawal bentuk sastera peralihan. Manuskrip yang dikaitkan dengan Ahmad Rijaluddin iaitu Hikayat Perintah Negeri Benggala ditulis sekitar 1810 ketika dia mengikuti seorang pedagang British ke Kolkata, India.
Karya itu berbentuk catatan perjalanan iaitu suatu bentuk penulisan yang jarang ditemui dalam tradisi persuratan Melayu klasik. Dalam budaya penulisan klasik, karya lazim berkisar pada hikayat, salasilah atau kitab agama bersifat didaktik dan berkait rapat dengan istana.
Sebaliknya, Ahmad Rijaluddin menghasilkan pengkisahan berdasarkan pemerhatian peribadi terhadap dunia luar, khususnya pengalaman di Bengal. Usaha ini menandakan satu anjakan penting dalam orientasi penulisan di rantau ini.
Namun begitu, pada penelitian Skinner, Ahmad Rijaluddin masih terikat dengan ciri-ciri konvensional sastera klasik. Walaupun dia cuba menggambarkan realiti, gaya penulisan tetap dipengaruhi struktur hikayat tradisional.
Misalnya, dalam menggambarkan bandar Calcutta (Kolkata), Ahmad Rijaluddin menggunakan kerangka ‘negeri yang ideal’ iaitu merangkumi unsur raja, istana, kota, pasar, rumah pelacuran, dan tempat beribadat.
Pendekatan ini menunjukkan imaginasi sasteranya masih dibentuk dan dipengaruhi pola lama dan klasik, walaupun kandungan karya bersifat baharu dan moden.
Skinner turut menegaskan, karya Ahmad Rijaluddin memperlihatkan campuran antara realiti dan fantasi. Gambaran struktur bangunan misalnya sering diperindah secara berlebihan sehingga menyerupai istana dalam hikayat.
Hal ini mencerminkan kekangan estetika pada zaman karya itu dihasilkan.
Kita perlu faham hakikat Ahmad Rijaluddin menulis dalam dunia yang masih belum sepenuhnya menerima aliran realisme sebagai nilai utama dalam penghasilan karya sastera.
Pada pemerhatian saya, di sinilah perbandingan antara Ahmad Rijaluddin dan Munsyi Abdullah menjadi signifikan. Munsyi Abdullah, yang hidup sedikit kemudian, berjaya melangkaui batasan yang dinyatakan di atas.
Dalam karya seperti Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, penulis berjaya menampilkan gaya kepengarangan yang lebih individualistik, langsung, bersahaja dan berteraskan realiti.
Maka, tidak hairanlah Skinner menyifatkan Munsyi Abdullah sebagai seorang penulis yang benar-benar menegaskan kepentingan ‘yang benar dan yang nyata’ dalam penulisan. Hakikat ini pasti disedari dan diakui para pengkaji sastera Melayu.
Perbezaan utama antara Ahmad Rijaluddin dan Munsyi Abdullah terletak pada keberanian Munsyi Abdullah menolak tradisi lama walaupun tindakan drastik itu pasti dikecam dan kritik orang sehingga kini.
Munsyi Abdullah seorang keturunan Jawi Peranakan telah secara terbuka mengkritik hikayat Melayu yang katanya sarat dengan unsur khayalan seperti jin, dewa-dewi dan naga.
Sebaliknya, beliau menekankan perlunya pengalaman sebenar diangkat dan didokumentasi sebagai asas penulisan dan persuratan Melayu. Pendekatan berani itulah yang menjadikan Munsyi Abdullah perintis Sastera Melayu Moden yang lebih rasional dan mementingkan pemerhatian langsung sebagai sumber penghasilan karya.
Walaupun begitu, Skinner tentulah tidak menafikan kepentingan serta sumbangan Ahmad Rijaluddin. Ahli akademik itu melihat Ahmad Rijaluddin sebagai pelopor yang membuka jalan kepada perubahan ke arah gaya penulisan sastera moden di rantau ini.
Ahmad Rijaluddin mungkin belum mampu membebaskan diri sepenuhnya daripada tradisi dan budaya masyarakat tradisional pada zaman itu. Namun begitu, usaha gigihnya dalam mencatatkan pengalaman perjalanan dan suasana dunia luar dalam karya merupakan langkah awal ke arah kesedaran baharu dalam persuratan Melayu.
Apa yang menarik, Skinner dalam kertas kerjanya turut mencadangkan kemungkinan wujud hubungan tidak langsung antara Ahmad Rijaluddin dan Munsyi Abdullah. Misalnya, kedua-dua pengarang itu pernah berada dalam lingkungan yang sama, khususnya semasa persiapan ekspedisi British ke Jawa pada sekitar 1810 hingga 1811.
Walaupun bukti kukuh amat terhad, masih terdapat persamaan dalam gambaran mereka serta gaya penulisan yang mungkin menunjukkan pengaruh atau sekurang-kurangnya semacam pengalaman bersama.
Selain itu, kedua-dua tokoh ini ternyata berkongsi latar belakang sebagai munsyi iaitu guru bahasa, penulis dan penterjemah yang berkhidmat dengan pihak penjajah.
Kedudukan istimewa ini memberikan mereka akses kepada dunia luar dan pengalaman lintas budaya yang seterusnya pasti mempengaruhi cara mereka melihat dan menulis tentang masyarakat sekeliling.

KESINAMBUNGAN SASTERA
Selepas meneliti hujah-hujah Skinner dalam kertas kerjanya, saya semakin yakin Ahmad Rijaluddin dan Munsyi Abdullah harus dilihat dalam satu rangka kesinambungan sejarah sastera.
Kalau Ahmad Rijaluddin mewakili tahap peralihan yang masih terikat kepada budaya tradisi, Munsyi Abdullah pula melambangkan kemunculan kesedaran moden dalam sastera Melayu.
Apa yang lebih penting, kedua-dua tokoh ini telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan sastera Melayu daripada dunia istana yang tertutup kepada dunia realiti yang lebih luas dan terbuka.
Dalam konteks ini, pengiktirafan terhadap sumbangan Ahmad Rijaluddin bukanlah bertujuan menyaingi kedudukan Munsyi Abdullah. Sebaliknya, saya sekadar mahu melengkapkan naratif, sejarah dan perkembangan Sastera Melayu Moden.
Sebagaimana ditegaskan Skinner dalam pembentangannya pada 1977 di Bangkok, tanpa memahami tokoh peralihan seperti Ahmad Rijaluddin, kita mungkin gagal melihat bagaimana sastera Melayu berkembang secara bertahap menuju kemodenan yang wujud sekarang.
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










