KERJAYA sebagai pendidik, daripada peringkat awal di taman asuhan sehinggalah ke tahap tertinggi di universiti, dianggap mulia oleh masyarakat di seluruh dunia.
Hal ini demikian kerana golongan pendidik merupakan tulang belakang pembinaan masyarakat. Mereka membentuk generasi masa hadapan bukan sahaja melalui penyampaian ilmu tetapi asuhan nilai serta penerapan kemahiran hidup yang penting. Semua ini dilaksanakan dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, selain mantap.
Dengan ini, tidak salah sama sekali apabila dikatakan golongan inilah yang membangkitkan kecintaan anak untuk terus belajar di samping membina keyakinan diri. Hampir semua pihak bersetuju guru, pensyarah dan profesor adalah antara sosok yang mempunyai dampak signifikan dalam kehidupan.
Oleh itu, tiada mana-mana pihak tergamak mencemuh golongan ini secara terbuka dan kadangkala digunakan sebagai alat serangan.
Di Malaysia, setakat ini tiada gelaran jelik secara terbuka kepada golongan pendidik daripada kalangan guru dan pensyarah, namun sebaliknya bagi golongan profesor, wujud pula gelaran ‘profesor kangkung’.
Walaupun ada dalam kalangan kita yang tidak senang dengan sosok atau kumpulan tertentu daripada golongan pendidik, namun masyarakat Malaysia rata-ratanya tidak tergamak memberi gelaran negatif.
Istilah ‘profesor kangkung’ pernah dicipta dan digunakan oleh segelintir golongan profesor sendiri sekitar awal 1990-an bagi merujuk rakan akademik lain yang dianggap tidak berkualiti. Sudah tentu mutu yang subjektif itu dibandingkan dengan dirinya yang kononnya tinggi lagi hebat.
Berkemungkinan, gelaran menghina itu lahir dalam kalangan etnik Melayu untuk merujuk profesor Melayu yang lain. Ia digunakan oleh individu yang bukan sahaja berpandangan, malah mempercayai sebahagian, malah ramai profesor Melayu tidak memenuhi piawaian sewajarnya yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang yang memegang gelaran profesor.
Sedangkan, pelantikan seorang ahli akademik ke jawatan profesor tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, melalui proses panjang yang teliti dengan segenap syarat diambil kira secara serius.
Jadi, bukan sahaja tidak adil, juga tidak patut gelaran jelik itu dihemburkan dengan mudah kepada mana-mana ahli akademik yang dinaikkan pangkat ke jawatan profesor. Lebih-lebih lagi untuk menyerang profesor tertentu bagi apa-apa tujuan jua.
Malang, apabila gelaran ‘profesor kangkung’ itu dihemburkan sesama profesor. Ini kerana para profesor memang arif dengan sifat akademik yang membenarkan amalan bersetuju untuk tidak bersetuju. Dengan kata lain, perlu ada amalan toleransi, iaitu menerima apa-apa sahaja, sama ada orangnya sendiri yang tidak disukai atau pandangannya yang tidak disenangi.
Tidak beradab sekali untuk terus melabelkan profesor lain yang tidak disukai dan pandangannya yang bertentangan sebagai ‘profesor kangkung’. Dengan kata lain, kecendekiaan dan kesarjanaaanya mahu dipertikai atas emosi semata-mata.
Kangkung digunakan sebagai kiasan kerana ditanggapi sebagai sayuran kurang, malah tidak berkhasiat, selain tumbuhan tempatan yang sangat mudah diperoleh.
Dari segi lain, penggunaan gelaran ‘profesor kangkung’ bertindak balas kepada fenomena kesusutan akademik dalam dunia akademia di negara ini. Oleh itu, ia sepatutnya ditangani dengan cara yang lebih bijak daripada menghemburkan gelaran buruk lagi menghina dan secara terbuka pula.
Sebagai akademik terbilang, sepatutnya memilih cara proaktif, iaitu melakukan sesuatu untuk memastikan piawai yang diingini itu betul-betul tercapai.
Sekiranya permasalahan profesor yang didakwa sebagai tidak cekap dari segi limu yang ditekuni, betul-betul wujud, sudah tentu ia tidak boleh sesekali diselesaikan dengan terus mengenakan gelaran ‘profesor kangkung’ secara terbuka. Sebaliknya hendaklah dihemati agar jawatan profesor yang dipegang etnik Melayu sebagai sasaran itu, benar-benar berpiawai untuk diyakini.
Gejala ‘profesor kangkung’ semakin menjadi-jadi apabila jawatan profesor mudah diperoleh kini berbanding puluhan tahun dahulu. Kini, semua ahli akademik boleh menjadi profesor asalkan kriterianya dipenuhi walaupun pada usia muda. Ini sangat berlainan dengan masa lampau yang mengehadkan bilangan profesor dan kepada yang berusia sahaja.
Tidak dapat dinafikan dengan cara kini yang kuantitinya agak banyak, menyebabkan jawatan itu dipersoal pada kualitinya. Hal begini selalu berlaku dalam konteks yang mahu mengaitkan kuantiti banyak dengan kualiti rendah.
Sehubungan dakwaan kuantiti mengkompromi kualiti, dahulu jawatan profesor bersifat langka, iaitu jarang-jarang dianugerahkan. Oleh itu, sesiapa yang menjadi profesor, lebih-lebih pula yang berprestasi, dianggap bukan sahaja sebagai epik, yakni hebat sekali. Malah sebagai legenda, iaitu meninggalkan legasi selain terus disanjungi pada sepanjang masa.
Apa-apa jua, kita hendaklah menyakini profesor kita bukan ‘profesor kangkung’, seperti yang senang dihemburkan secara terbuka oleh masyarakat, termasuklah kepimpinan negara. Dalam hal ini, malang tindakan ini tidak dianggap biadap selain salah.
Sebenarnya tindakan mereka ini boleh dikategorikan sebagai mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih, iaitu kelemahannya juga tidak kurang banyaknya.
Kini masyarakat ikut menghemburkannya secara bebas. Bukan sahaja tanpa segan silu,malah penuh dengan rasa megah, yakni satu pencapaian untuk mengherdik pihak yang digolongkan sebagai bijak pandai.
Sesungguhnya gejala panggilan ‘profesor kangkung’ ini ibarat membuka pintu pagar ampangan air. Melalui kiasan ini, sangat mustahil untuk diberhentikan gejala ini. Dengan ini, ia bermakna gelaran itu akan terus-terusan digunakan kerana suasananya tidak dapat dikawal lagi.
Inilah musibah akal yang tidak panjang daripada pihak yang kononnya berakal. Dari satu segi, ia ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, iaitu melakukan tindakan yang boleh mengaibkan diri sendiri tetapi, tidak semestinya begitu kerana etnik Melayu Malaysia terdiri daripada pelbagai subetnik.

TANGANI SEGERA
Dalam hal ini, pengaiban daripada satu subetnik yang merasakan dirinya superior kepada yang satu lagi yang dianggapnya inferior. Ia juga ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Dalam hal ini, sekiranya ada isu kesusutan akademik, ia sewajarnya ditangani dengan lebih bijak secara proaktif untuk melahirkan profesor tulen dan bukan dengan reaksi melalui gelaran ‘profesor kangkung’.Sebenarnya perbuatan mengata orang ini, sama ada mengumpat perkara benar atau memfitnah perkara tidak benar, adalah salah, malah berdosa besar.
Dalam pada itu, libatkanlah mana-mana profesor yang mempunyai gagasan luar biasa dalam wacana ilmiah untuk menentukan kebenarannya, bukannya menghemburkan gelaran ‘profesor kangkung’, lebih-lebih lagi oleh profesor kepada profesor. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










