Hukuman berat maksimum terhadap pemandu mabuk

Hukuman berat maksimum terhadap pemandu mabuk

HASNUL HANIFF HARUN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman berat termasuk penjara mandatori dan larangan memandu seumur hidup perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi terhadap pemandu mabuk serta positif dadah.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun berkata, sudah tiba masanya undang-undang sedia ada diperketatkan bagi memastikan pesalah menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, tiada lagi ruang untuk bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kejadian kemalangan maut yang terus berulang saban tahun membuktikan bahawa hukuman sedia ada masih belum cukup tegas untuk menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pesalah.

“Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk atau positif dadah perlu diklasifikasikan sebagai jenayah berat, khususnya apabila melibatkan kematian atau kecederaan serius.

“Pesalah yang menyebabkan kematian wajar dikenakan hukuman penjara mandatori, lesen digantung serta-merta selepas sabitan dan disenarai hitam daripada memohon lesen baharu untuk tempoh panjang atau seumur hidup,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah di Jalan Raya Barat, Klang.

Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bergerak dari Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi sebelum memotong beberapa kenderaan serta memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal dari arah hadapan.

Hasnul berkata, penguatkuasaan undang-undang jug perlu dipertingkatkan secara konsisten menerusi operasi bersepadu dan penggunaan alat pengesan alkohol serta dadah yang lebih canggih.

Dalam masa sama, beliau berkata, kesedaran masyarakat juga perlu terus diperkasakan agar keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab bersama dan tidak dipandang ringan oleh mana-mana pihak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini