RAMADAN sudah berlalu pergi dengan Syawal menjelang tiba.
Ramadan di Perlis tahun ini agak meriah berbanding tahun sebelum-sebelumnya. Mana tidaknya, sepanjang sebulan Ramadan, meriah dengan program-progam berbentuk bantuan.
Tidak sampai tiga bulan bergelar Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah membuktikan kemampuan beliau dalam menyentuh jiwa rakyat di Perlis.
Disebalik pelbagai kecaman diterima sebelum ini ekoran kemelut politik yang menyaksikan pertukaran Menteri Besar, namun Abu Bakar tidak pernah mengalah atau terkesan sebaliknya terus fokus menjaga kebajikan rakyat.
Sejak hari pertama di kerusi Menteri Besar, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Perlis terus menjadi keutamaan dan fokus Abu Bakar.
Dalam tempoh tersebut, Abu Bakar aktif melaksanakan pelbagai inisiatif selain terus menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Pusat demi kebajikan rakyat.

Minggu-minggu awal sebagai Menteri Besar, beliau dilihat tidak putus-putus ‘naik’ Kuala Lumpur mengunjungi kementerian-kementerian termasuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan perhatian kerajaan untuk kepentingan rakyat.
Sempena Ramadan kali ini, Abu Bakar kembali menghidupkan atau mengembalikan semula kegemilangan Dewan Warisan.
Dewan Warisan di era Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar satu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan berikutan kemeriahan sepanjang bulan Ramadan dengan program bantuan tersebut.
Ia sentiasa diingati oleh rakyat di negeri ini.
Kembali meneruskan usaha itu selepas sekian lama, Abu Bakar mengambil inisiatif mengadakan program imarah Ramadan. Ribuan penduduk Perlis mendapat manfaat menerusi program itu.
Penyampaian sumbangan menerusi program imarah Ramadan itu membabitkan penerima di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Program imarah Ramadan yang bermula dari 27 Februari hingga 15 Mac itu memberi impak atau kesan cukup signifikan kepada rakyat. Antara 3,000 sehingga 5,000 menerima bantuan itu.
Para penerima dalam program berkenaan menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban menyambut Aidilfitri.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan negeri pimpinan Abu Bakar juga mengadakan program sumbangan Aidilfitri yang memanfaatkan sekitar 15,000 penerima dari 15 kawasan DUN di Perlis.
Sumbangan duit raya berkenaan khususnya membabitkan kategori ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, asnaf dan golongan B40 itu bermula dari 11 hingga 18 Mac sekali gus memberi keceriaan kepada para penerima menjelang sambutan Aidilfitri.
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan sempena Program Sumbangan Aidilfitri 2026 itu.
Malah, sumbangan tersebut juga akan diperluas kepada 2,000 penerima setiap DUN pada 2027 yang sekali gus bakal membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Sebelum itu, Abu Bakar turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2026 sebanyak RM1,500 secara one-off bagi semua penjawat awam negeri lantikan tetap, kontrak dan sementara serta MySTEP.
Jumlah tersebut antara tertinggi pernah diberikan kepada penjawat awam sempena Aidilfiri.
Menjelang tempoh 100 hari pertama sebagai Menteri Besar, Abu Bakar memberi jaminan akan berusaha membawa era baharu kepada perubahan corak kepemimpinan bagi menjadikan Perlis negeri berkebajikan.
Selain itu, antara fokus 100 hari tersebut, Abu Bakar juga melihat potensi pembangunan seperti pelaksanaan hotel atau kilang-kilang termasuk perumahan mampu milik.
Beliau juga sudah membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan sebanyak 2,000 unit rumah mampu milik demi kepentingan rakyat di Perlis.
Antara perubahan besar dilaksanakan dalam pentadbiran Abu Bakar juga adalah dengan memperkenalkan konsep 3B iaitu bangkit, bingkas dan buat.
“Konsep berkenaan jika sebelum ini sesuatu masalah atau permohonan memakan masa antara dua minggu, kita akan selesaikan dalam tempoh tiga atau selewat-lewatnya lima hari.
“Sistem kerajaan ini kena cepat, dengan paling lewat lima hari kita selesaikan masalah rakyat.
Fokus kebajikan rakyat ini akan terus diberi keutamaan,” kata Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis. – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Perlis.










