MELAKA: Kejatuhan nilai mata wang rupiah Indonesia dipercayai menjadi faktor utama jumlah tempahan feri bagi laluan Melaka–Dumai-Melaka berkurangan walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya berbaki kira-kira seminggu lagi.
Pengarah Urusan Tunas Rupat Follow Me Express Sdn. Bhd. yang mengendalikan perkhidmatan feri Melaka-Dumai-Melaka, Datuk Seri Jimmy Huang Chong Huat berkata, situasi tahun ini amat berbeza berbanding tahun lalu apabila pihaknya tidak menerima tempahan tiket khususnya pada hari Jumaat.
Menurutnya, ekoran kejatuhan teruk mata wang rupiah Indonesia menyebabkan banyak warga Indonesia tidak lagi memenuhi ruang Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Melaka dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri nanti.
“Setakat ini tempahan tiket feri bagi laluan Melaka–Dumai–Melaka masih banyak dan belum penuh sehingga perjalanan pada hari Jumaat ini.
“Tahun lalu, kira-kira tiga hari sebelum Aidilfitri, pihak kami terpaksa menambah perkhidmatan dua feri sehari bagi menampung peningkatan penumpang warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Namun tahun ini tempahan masih perlahan walaupun perayaan semakin hampir bukan sahaja ingin balik ke kampung halaman malah yang datang ke Melaka pun kurang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Chong Huat berkata, keadaan ekonomi semasa termasuk kejatuhan nilai rupiah menyebabkan kos perjalanan menjadi lebih mahal kepada warga Indonesia, sekali gus menjejaskan jumlah penumpang.
Selain itu, katanya, jumlah penduduk dari Dumai yang datang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan di beberapa hospital swasta juga dilihat semakin berkurangan berbanding sebelum ini.
“Biasanya ramai dari Dumai datang ke Melaka untuk rawatan perubatan selain melancong, namun tahun ini bilangannya juga menurun,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau yakin tempahan mungkin meningkat pada saat akhir memandangkan sebahagian penumpang masih memilih untuk membeli tiket secara terus di kaunter.
Katanya, tahun ini pihaknya tidak menyediakan tambahan feri bermula Rabu ini sehingga Sabtu dan kekal dengan tempoh berlepas pada pukul 2.30 petang sahaja dengan kapasiti feri boleh memuatkan 280 tempat duduk. – UTUSAN










