46,432 individu muflis diberi peluang kedua

46,432 individu muflis diberi peluang kedua

ISHAK Bakri menyampaikan sumbangan pada Program MdI Prihatin dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim di Institut Taufiq Islami, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 46,432 individu yang berstatus muflis di seluruh negara berpeluang memperoleh pelepasan kebankrapan menerusi inisiatif Pelepasan Kebankrapan Laluan Pantas.

Menerusi inisiatif yang diperkenalkan Jabatan Insolvensi Malaysia itu, individu yang layak boleh dibebaskan daripada status kebankrapan seawal 36 hari selepas permohonan lengkap dikemukakan.

Program itu memberi tumpuan khusus kepada empat kumpulan sasaran utama iaitu ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan kewangan serta pembeli projek perumahan terbengkalai.

Ketua Pengarah Insolvensi Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri berkata, pelaksanaan program laluan pantas itu penting bagi membantu golongan yang terbeban, khususnya pembeli rumah yang masih menanggung hutang pinjaman walaupun projek perumahan mereka terbengkalai.

“Inisiatif Fast Track ini telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 16 Februari lalu.

“Setakat ini terdapat 490 ibu tunggal di seluruh negara yang berstatus muflis dan menepati syarat kelayakan untuk dilepaskan di bawah inisiatif tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program MdI Prihatin Dasar Peluang Kedua, di sini hari ini.

Menurut beliau, permohonan di bawah program itu akan diproses dalam tempoh 36 hari sekiranya semua dokumen lengkap dan tiada sebarang halangan.

Katanya, walaupun belum genap sebulan dilancarkan, jabatan itu telah menerima 169 permohonan secara dalam talian.

“Kategori ibu dan bapa tunggal mencatatkan permohonan tertinggi, diikuti peminjam mikro di tempat kedua.

“Turut direkodkan dua permohonan daripada mangsa penipuan kewangan dan satu permohonan daripada mangsa projek perumahan terbengkalai,” katanya.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum seseorang pemohon layak menerima pelepasan tersebut.

Katanya, syarat utama adalah kes kebankrapan pemohon mestilah telah ditadbir di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia melebihi tempoh lima tahun.

“Selain itu, pemohon perlu mempunyai rekod kelakuan yang baik di bawah Akta Kebankrapan serta tertakluk kepada ketiadaan bantahan daripada pihak pemiutang.

“Sekiranya terdapat bantahan yang didapati tidak munasabah, jabatan berhak menolak bantahan tersebut demi memelihara kepentingan kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×