ADUN Muflis: Speker akan maklum minggu ini -  MB Selangor

ADUN muflis: Speker dijangka maklum minggu ini –  MB Selangor

ADUN muflis
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam dan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2026 di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka memaklumkan kedudukan seorang Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) dipercayai hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dalam sidang bermula hari ini.

ADUN tersebut didakwa hilang kelayakan selepas dikatakan berdepan tindakan muflis.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut akan ditentukan sendiri oleh Speaker DUN Selangor, Lau Weng San sebelum dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Itu tertakluk kepada prerogatif speaker, bukan saya punya kedudukan. Tetapi saya rasa, pihak DUN akan menyiapkan nota dan saya ingat maksimum dalam minggu ini kita akan memaklumkan tetnag kedudukan (ADUN) berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2026 di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular laporan dakwaan seorang ADUN di Selangor hilang kelayakan sebagai seorang wakil rakyat selepas dipercayai diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada mana-mana pihak mengesahkan identiti ADUN terbabit dan dakwaan muflis yang dikenakan ke atasnya.

Sementara itu, dalam Sidang DUN yang bermula hari ini, Weng San tidak memaklumkan sebarang perkara berkaitan, sebaliknya meminta setiausaha supaya meneruskan pembentangan aturan mesyuarat.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua menjelaskan, kedudukan penganjuran pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan diwakili ADUN terbabit adalah tertakluk kepada penilaian oleh SPR.

“Itu keputusan SPR bukan saya. Sebab mereka yang akan membuat pengesahan sama ada cukup tiga tahun ataupun belum, atau kena buat PRK atau tidak. Kita kena akur.

“(Bukan soal pilihan), pilihan kita (yang ada) adalah mengikut undang-undang, itu pilihan yang terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×