Syarikat penerbangan kaji surcaj bahan api

Syarikat penerbangan kaji surcaj bahan api

CHANDRA RAMA MUTHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan mengkaji semula pelaksanaan surcaj bahan api susulan peningkatan harga minyak global yang memberi tekanan kepada kos operasi industri penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, ia bertujuan membantu menampung sebahagian kos bahan api selain memastikan harga kekal kompetitif supaya dapat menawarkan pilihan perjalanan yang fleksibel kepada penumpang.

Katanya, pelarasan tersebut akan disemak secara berkala selaras dengan perkembangan harga bahan api serta keadaan pasaran semasa.

“Tambang Batik Air bersifat dinamik dan dipengaruhi oleh faktor penawaran serta permintaan pasaran. 

“Apabila kos operasi meningkat, tambang mungkin diselaraskan secara sederhana dan apabila kos menurun, tambang juga akan turut menyesuaikan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan jadual penerbangan susulan kenaikan kos bahan api secara mendadak berikutan konflik Asia Barat yang menyebabkan peningkatan kos bahan api pesawat sehingga menjejaskan operasi.

Chandran berkata, penerbangan Batik Air masih beroperasi seperti biasa tanpa sebarang pembatalan atau pengurangan jadual meskipun berlakunya peningkatan kos bahan api.

Katanya, syarikat penerbangan itu bagaimanapun terus memantau perkembangan kos operasi serta keadaan pasaran global yang memberi kesan kepada industri penerbangan di seluruh dunia.

“Setakat ini Batik Air tidak berdepan pembatalan atau pengurangan jadual penerbangan secara khusus susulan kenaikan kos bahan api. Namun, kami terus memantau rapat perkembangan kos operasi dan keadaan pasaran global.

“Seperti kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia, Batik Air turut memantau kenaikan harga bahan api jet yang baru-baru ini meningkat daripada sekitar AS$85 hingga AS$90 setong kepada melebihi AS$100 setong susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Aviation Group (MAG) berkata, akan terus menyemak kadar tambang serta surcaj bahan api berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu.

MAG mengendalikan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan AMAL berkata, pihaknya komited untuk melakukan pengurusan kos yang seimbang dan mengekalkan aspek kebolehpercayaan serta kesalinghubungan yang selamat di serata rangkaiannya.

“Langkah semakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi mengurus kos operasi serta memastikan kesalinghubungan yang stabil merentasi rangkaiannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×