Akaun Bersatu terima lagi RM6 juta

Akaun Bersatu terima lagi RM6 juta

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pegawai bank mengesahkan bahawa akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan nombor akhir 7041 menerima kemasukan sebanyak RM6 juta antara Februari dan November 2022.

Penolong Pengurus AmBank cawangan Amcorp Mall, Nor Paizah Osman, 45, berkata, terdapat 10 transaksi menerusi deposit cek tempatan di antara 21 Februari dan 17 November 2022.

Katanya, pada 21 Februari 2022, terdapat dua transaksi membabitkan RM1 juta setiap satu, pada 30 Mei 2022 (RM500,000) dan 31 Oktober 2022 (RM500,000).

Selain itu, pada 8 November 2022, terdapat enam transaksi, masing-masing membabitkan nilai RM500,000 dan dua lagi transaksi berlaku pada 17 November tahun sama melibatkan jumlah yang sama.

Beliau berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 79, yang didakwa atas empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.

Kelmarin Pengurus Kewangan CIMB cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee berkata, terdapat 28 transaksi membabitkan RM19.3 juta yang berlaku antara 24 Ogos 2021 dan 11 November 2022 membabitkan akaun Bersatu berakhir dengan nombor 9940.

Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa segala rekod transaksi akaun AmBank Bersatu itu berada dalam keadaan teratur dan merupakan transaksi perbankan yang biasa.

Katanya, pihak bank tidak pernah mendapat sebarang inkuiri daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengenai isu kewangan parti, namun tidak dapat mengingati sama ada AmBank pernah menerima sebarang inkuiri daripada Bank Negara Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×