Bekas pengarah jabatan kerajaan tanam lebih 200 pokok kopi

Bekas pengarah jabatan kerajaan tanam lebih 200 pokok kopi

SHAMSUDIN Ahmad menunjukkan biji kopi yang dipetiknya ketika ditemui di kebun kopinya di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Minat mendalam terhadap bidang pertanian sejak kecil mendorong seorang bekas pengarah jabatan kerajaan di sini, mengusahakan tanaman kopi sebagai aktiviti selepas bersara.

Drs. Shamsudin Ahmad, 60, berkata, pengalaman melihat arwah ibunya menanam kopi di belakang rumah menjadi antara faktor utama beliau memilih tanaman tersebut.

Menurutnya, ketika menyambung pengajian di Indonesia, beliau mendapati tanaman kopi diusahakan secara meluas di kawasan tanah tinggi khusunya di Bali dan Lombok.

”Dulu emak ada tanam kopi di belakang rumah. Emak tanam tidak banyak tetapi cukup untuk kegunaan harian dan saya juga memang minat bercucuk tanam serta suasana kampung.

”Apabila belajar di Indonesia, saya lihat di Bali dan Lombok terdapat banyak kebun kopi, jadi dari situ ia datang minat untuk menanam kopi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Seri Menanti, Kuala Pilah.

Beliau yang merupakan bekas Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan berkata, keputusan mengusahakan tanaman kopi dibuat selepas memikirkan aktiviti yang sesuai dilakukan selepas bersara bagi mengisi masa lapang selepas bersara.

”Tiga tahun sebelum bersara, saya sudah mula bersihkan tanah, beli anak pokok dan tanam sedikit demi sedikit. Dulu ramai tidak percaya yang saya hendak menanam kopi. Ramai ingat saya hendak tanam durian atau buat projek biasa-biasa. Bila saya kata hendak tanam kopi, ramai yang pelik,” katanya.

Kini, beliau mengusahakan lebih 200 pokok kopi terdiri daripada tiga varieti iaitu Arabica, Liberica dan Robusta yang dibeli di nurseri tempatan dengan sebahagiannya diberi oleh Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

Lebih menarik, biji kopi yang dipetik diproses oleh dirinya sendiri menggunakan kaedah tradisional iaitu menggunakan kayu api bagi mengekalkan aroma dan rasa asli.

Selain biji kopi, Shamsudin turut menghasilkan beberapa produk sampingan seperti teh bunga kopi, teh kulit kopi dan teh rebusan pucuk kopi atau lebih dikenali sebagai ’teh kawa’ oleh masyarakat di Negeri Sembilan secara tempahan.

Dalam pada itu, Shamsudin berkata, walaupun kebun kopinya diusahakan secara kecil-kecilan, tanaman kopi itu memberi kepuasan buat dirinya dan kebun kopinya itu turut menjadi medium mengeratkan silaturahim selepas bersara.

”Seronok buat tanaman kopi ini kerana kita tidak hilang kawan. Mereka selalu berkunjung ke kebun untuk minum kopi, membeli kopi dan berbual. Sebab itu saya sediakan dapur dan tempat duduk untuk berehat. Malah, ada juga yang datang untuk belajar tentang penanaman kopi” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×