Malaysia, Uzbekistan perkukuh kerjasama sektor pertanian

Malaysia, Uzbekistan perkukuh kerjasama sektor pertanian

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Uzbekistan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan, khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi, teknologi pertanian dan pelaburan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Pertanian Uzbekistan, Ibrokhim Abdurakhmonov di Tashkent, semalam.

Katanya, pertemuan tersebut turut memberi tumpuan kepada adaptasi perubahan iklim, penyelidikan dan pembangunan (R&D), keterjaminan makanan serta penerapan teknologi pintar bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.

“Dalam sektor akuakultur dan perikanan, kedua-dua pihak mengenal pasti potensi besar untuk memperluaskan kerjasama teknikal, pelaburan dan pemindahan teknologi.

“Malaysia mempunyai kekuatan dalam bidang akuakultur, pengeluaran makanan laut dan sistem kawalan kualiti, termasuk industri udang, serta bersedia berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dengan Uzbekistan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad, Malaysia turut berkongsi pengalaman menggunakan teknologi bioflok yang berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan terhad.

Katanya, Uzbekistan turut menyatakan minat untuk mendapatkan kepakaran, teknologi dan pelaburan dari Malaysia bagi membantu memperkukuh pembangunan industri perikanan negara itu.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut bersetuju bahawa transformasi digital perlu menjadi antara pemacu utama pembangunan sektor pertanian pada masa hadapan.

“Kerjasama dalam bidang AI, pertanian digital, pertanian pintar dan pengurusan air secara mampan dikenal pasti sebagai antara bidang baharu yang berpotensi diterokai.

“Pengalaman Uzbekistan menguruskan pertanian di kawasan beriklim kering, digabungkan dengan kepakaran Malaysia dalam teknologi pertanian dan inovasi agromakanan, dijangka mewujudkan sinergi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Mohamad berkata, kedua-dua negara juga bersetuju mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti peluang pelaburan dan perdagangan dalam sektor pertanian.

Katanya, kerjasama antara syarikat dan pemain industri pertanian Malaysia serta Uzbekistan akan diperkukuh sebagai pelengkap kepada hubungan antara kerajaan yang sedia terjalin.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau menyambut baik perkembangan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Centre of Knowledge and Innovation in Agriculture (AKIS), Uzbekistan.

Katanya, kedua-dua pihak sedang berbincang untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian.

“Kerjasama itu dijangka membuka ruang kepada pertukaran saintis, pelaksanaan penyelidikan bersama serta pembangunan teknologi dan inovasi pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor agromakanan kedua-dua negara,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut, Mohamad turut merasmikan pelancaran operasi syarikat teknologi pertanian Malaysia, Meraque Group di Uzbekistan.

Syarikat berkenaan yang terlibat dalam bidang robotik, dron dan pertanian tepat turut menandatangani MoU dengan Kementerian Pertanian Uzbekistan.

“Pelancaran ini merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat
Malaysia dalam menembusi pasaran Asia Tengah dan membuktikan keupayaan teknologi pertanian tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, nilai perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dengan Uzbekistan mencecah RM338.48 juta sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

Katanya, eksport utama Malaysia ke Uzbekistan merangkumi kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari negara berkenaan termasuk buah-buahan bernilai tinggi seperti anggur.

Mohamad turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Beliau juga dijadual menyertai Tashkent International Investment Forum (TIIF) 2026 yang akan dirasmikan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev pada 17 Jun ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN