11 lori antara 13 kenderaan dipandu warga asing disita JPJ

11 lori antara 13 kenderaan dipandu warga asing disita JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Sebanyak 13 kenderaan termasuk 11 lori disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di sekitar Balakong di sini hari ini.

Operasi bermula seawal pukul 6.30 pagi mengesan majikan dan pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya serta peraturan imigresen.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil operasi dijalankan pihaknya mengesan terdapat majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori dengan alasan mahu menjimatkan kos dengan bayaran gaji rendah.

Katanya, sebanyak 13 kenderaan telah disita melibatkan 11 lori di bawah 7,500 kilogram, sebuah kereta dan van.

“Warga asing terbabit digaji bagi membawa lori barangan termasuk barangan runcit, manakala kereta merupakan kenderaan e-hailing.

“Tiga kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi ialah tiada Lesen Vokasional (GDL) sebanyak 16 kes, diikuti tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 12 kes serta tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) (8 kes),” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih di sini hari ini.

Tambahnya, sejumlah 47 notis tindakan telah dikeluarkan melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk 47 notis (P) 22 iaitu arah periksa serta notis di bawah Seksyen 61(1), 63(1) dan 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kata beliau, dalam operasi sama, pihak Jabatan Imigresen (JIM) telah menahan 13 warga asing terdiri daripada enam warga Pakistan, India (5 orang), Nepal (1 orang) dan seorang Bangladesh.

Muhammad Kifli menjelaskan, antara alasan majikan kerana menggajikan warga asing sebagai pemandu lori ialah mahu menjimatkan kos kerana bayaran gaji yang rendah.

“Usah fikir tentang keuntungan, tapi fikirkan tentang keselamatan serta nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.
Katanya, JPJ berduka cita kerana 11 lori dipandu warga asing terbabit digajikan warga tempatan.

“JPJ melahirkan rasa kesal kerana masih ada majikan yang bersekongkol dan bersubahat. Kita tegas dan tiada toleransi kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan kenderaan, pengeluaran notis dan pendakwaan akan terus dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh,” katanya.

JPJ juga memberi amaran keras kepada pemilik kenderaan dan majikan supaya tidak membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan serta dokumen sah.

“Sebarang kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil tanpa kompromi,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×