KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) kenderaan persendirian bagi pemandu berusia 70 tahun ke atas.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, pada tahun 2025 hanya 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Sebaliknya kata beliau, sebanyak 69.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga berusia 16 hingga 40 tahun.
“Walau bagaimanapun, data ini merangkumi sama ada sebagai pemandu, penunggang, penumpang atau mangsa, dan tidak menunjukkan bahawa umur semata-mata merupakan faktor utama penyumbang kepada kemalangan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Nazri bin Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada kerajaan bercadang mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu bermula pada usia 70 tahun ke atas.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, Kementerian mengambil maklum trend penuaan populasi di Malaysia, dengan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas kini telah melebihi tujuh peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian sentiasa meneliti amalan terbaik antarabangsa berkaitan perlesenan pemandu warga emas.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dapatan kajian dan analisis antarabangsa menunjukkan bahawa tiada bukti yang konklusif bahawa pengenalan pemeriksaan kesihatan mandatori berasaskan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan secara signifikan,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, sekatan yang dikenakan berdasarkan faktor umur semata-mata berpotensi menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas khususnya dalam mengakses perkhidmatan kesihatan, urusan harian dan aktiviti kemasyarakatan.
“Perlu juga dinyatakan bahawa peningkatan usia tidak semestinya menyebabkan seseorang hilang keupayaan untuk memandu kerana tahap kesihatan dan kemampuan setiap individu adalah berbeza, dan ramai dalam kalangan mereka masih mampu memandu dengan selamat serta bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










