KAJANG: Operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan bukan untuk menghukum, sebaliknya mendidik bagi memastikan pengendali serta pemilik mematuhi standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 22 kenderaan lebih muatan telan disita sepanjang Operasi Perang Lebih Muatan yang berkuat kuasa mulai 14 Oktober di negeri ini.
Selain, katanya, sebanyak 39,555 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan setakat Rabu lalu.
“Antara kesalahan tertinggi seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu 5,160 notis, diikuti oleh tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (4,440 notis), tiada perlindungan insuran (3,492 notis), tiada Lesen Vokasional (2,299 notis).
“Bagi kesalahan lebih muatan pula merekodkan 1,080 notis,” katanya dalam sidang akhbar Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal di sini, malam tadi.
Operasi itu melibatkan kekuatan anggota JPJ Selangor, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Kata beliau, tindakan tegas akan terus diambil tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan.
“JPJ Negeri Selangor menegaskan bahawa penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi spesifikasi teknikal, had muatan yang ditetapkan dan standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama,” ujarnya.
Pada 14 Oktober lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui JPJ melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, operasi yang dinamakan Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan itu dilaksanakan serta-merta hingga 31 Disember.
Dalam perkembangan lain, Azrin berkata, anggota penguat kuasa, petugas kaunter serta penguji di institut memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah dilengkapkan dengan alat perakam badan (BWC) bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti sebagai langkah strategik serta progresif.
Tambahnya, sebanyak 27 unit BWC telah diterima pihaknya sejak 15 Disember lalu.
“Rakaman visual dan audio yang direkodkan melalui BWC berfungsi sebagai bahan sokongan bukti yang sah, selain melindungi anggota penguat kuasa daripada sebarang salah faham, tuduhan tidak berasas atau gangguan semasa menjalankan tugas,”jelasnya.
Jelasnya, orang ramai diseru agar menyalurkan aduan berkaitan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata (real-time) melalui aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel ke [email protected] beserta butiran lengkap aduan bagi tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










